Selasa, 19 November 2013

Tamadun bukan dari Barat saja

Perkembangan dan pembinaan tamadun yang terbentuk di Malaysia merupakan peranan dan sumbangan besar tamadun Islam. Dalam hal ini, sebagaimana yang telah disepakati ramai sarjana, proses pembinaan tamadun bangsa dan negara, melalui proses transmisi langsung dari kawasan pusat dan kelahiran Islam, iaitu Timur Tengah baik dari segi keilmuan, pemikiran, tingkah laku, budaya dan sosial.

Pada masa sama, pelbagai gejala ‘penyakit’ sosial, budaya dan pemikiran masyarakat merupakan ‘sumbangan’ Barat yang tidak ternilai kepada terbentuknya individu manusia yang rosak. Isu-isu hangat diperkatakan belakangan ini seperti isu sekularisme, pluralisme dan liberalisme (sepilis), seksualiti merdeka dan semakin beraninya golongan bukan Islam menuntut hak-hak mereka yang tidak masuk akal, itu semua berpunca daripada khazanah Barat yang terlalu mengagungkan kebebasan bertindak dan berfikir.

Kita akui Barat punya ‘track record’ yang baik dalam perkara pengurusan dan masalah kedisiplinan. Oleh sebab itu, kita juga patut hargai budaya kerja mereka yang telah membawa kejayaan setakat ini. Tetapi itu bukan bermakna kita perlu mencontohi dan mengagumi Barat. Ini kerana Islam telah menyediakan segala asas dan konsep kemajuan di segala bidang kehidupan. Semuanya kita pulangkan kepada diri sendiri untuk mencipta kejayaan.       

Ini bermakna, Barat tidak boleh mendabik dada dan mendakwa sebagai satu-satunya yang dominan dalam pembinaan tamadun sebuah bangsa. Sesiapa pun tidak menafikan tamadun yang menguasai dunia pada hari ini ialah tamadun Barat. Namun bukanlah tamadun Barat itu lebih unggul daripada tamadun Islam.

Kononnya mereka telah diciptakan untuk memimpin, memerintah dan menguasai sesiapa sahaja. Manakala bangsa lain diciptakan untuk mengabdi diri dan tunduk kepada mereka. Inilah antara ciri-ciri dan sifat pendukung tamadun Barat yang berasakan dirinya lebih tinggi daripada bangsa lain.

Sebenarnya kita tidak pernah  menafikan kecemerlangan tamadun Barat yang mempunyai kesan positif dan hasil yang baik bagi kehidupan manusia. Ini dirasai oleh setiap manusia dalam dirinya dan di persekitarannya. Tamadun ini telah mampu menerokai ilmu-ilmu seperti matematik, fizik dan seterusnya penerapan teknologinya yang memberi kepada manusia kemampuan dan kekuatan menghayati kehidupan duniawi.

Namun di sebalik keunggulan tamadun ciptaan Barat itu terdapat lebih banyak kesan keburukan yang ditimbulkannya seperti keruntuhan akhlak, kemusnahan institusi keluarga, kegelisahan jiwa manusia dan kecelaruan akal sehingga membawa kesengsaraan hidup manusia.

Kalau kita menyingkap kembali sejarah kecemerlangan tamadun Islam Andalusia Sepanyol, bagaimana Raja Inggeris King George II pernah mengutus surat kepada Khalifah Hisham III (Kerajaan Umayyah Sepanyol), antara lain maksud surat itu memberitahu tentang keinginan bangsa Eropah yang dikelilingi kebodohan waktu itu untuk menimba ilmu di Andalusia. Inilah hadiah peradaban yang paling besar Islam kepada Barat yang kini dinafikan oleh mereka. Mereka bangkit di atas puncak kemajuan ilmu pengetahuan kaum Muslimin.

Tidak keterlaluan juga, jika dikatakan bahawa orang Barat sebenarnya `mudah lupa’. Mereka `lupa’ dan mungkin juga `buat-buat lupa’ bahawa kemajuan dan kecemerlangan yang dicapai oleh mereka adalah hasil sumbangan tamadun Islam yang terlebih dahulu mempelopori ilmu-ilmu moden yang ada pada hari ini.

Maka dalam hal ini, Barat seharusnya berterima kasih dan bersikap benar serta adil kerana pendapat yang lebih ekstrem pernah meletakkan bahawa peradaban Barat moden itulah seperti Dajal yang ditunggu-tunggu.

Siapa boleh menyelamatkan umat manusia moden yang sedang mengalami kecemasan dan kegelisahan di bawah dominan tamadun Barat moden yang berkuasa sekarang. Agama Kristian jauh sama sekali, apatah lagi untuk membina manusia yang dicitakan oleh tamadun manusia. Demikian juga agama Yahudi, lebih tidak mampu.

Umat manusia memerlukan tamadun baru yang memberikan ia agama, tetapi ia tidak kehilangan ilmu pengetahuan yang dapat memberikan keimanan tetapi tidak melenyapkan akal, yang memberi roh (jiwa) tetapi tidak menghalang material, yang memberi akhirat tetapi tidak menghalang ia dari dunia. Tamadun sedemikian ini hanya pada tamadun Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan