KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan(Pendidik), mahu keputusan kerajaan menjadikan matapelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus SPM menjelang 2016, dikaji semula.
Presidennya, Normala Sudirman berkata, keputusan terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia itu dilihat tidak wajar untuk dilaksana.
"Kami berpendirian bahawa Matapelajaran Bahasa Inggeris tidak sewajarnya dijadikan ‘penanda aras’ bagi kemajuan anak- anak Malaysia sehingga menyebabkan ianya perlu menjadi ‘syarat wajib lulus’ dalam peperiksaan SPM.
"Kami juga ingin menarik perhatian bahawa syarat kemasukan di universiti atau IPTA, telah disyaratkan agar peperiksaan MUET telah diiktiraf sebagai kelayakan khusus untuk diterima mengikuti pengajian di IPTA atau IPTS selain subjek Bahasa Inggeris itu sendiri di universiti .
"Pengumuman syarat baru Bahasa Inggeris menjadi syarat lulus dalam peperiksaan SPM dalam Pelancaran Pelan Pembangunan pendidikan Malaysia (2013- 2025) yang dilancarkan baru-baru ini ,dibimbangi akan mengulangi kesilapan Dasar PPSMI yang telah merugikan wang negara lebih dari RM5 billion," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa yang sama katanya, kenapa mata pelajaran Pendikan Islam tidak pula menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan bermula UPSR ,PMR dan SPM sebelum ini kepada pelajar yang beragama Islam.
Menurutnya, tidakkah ini menafikan ‘roh pendidikan’ agama dalam jiwa 5 juta orang pelajar yang berada dalam arus perdana pendidikan di saat gejala sosial semakin meruncing dan masalah semakin membarah dalam masyarakat?
"Bukankah adalah lebih baik mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral diberi penekanan terhadap pelajar dalam usaha melahirkan modal insane gemilang?," soalnya.
Pendidik juga ujarnya berasa kecewa kerana selain tidak mendapat kelulusan Kabinet di Parlimen Malaysia, tiada satupun ‘sekolah perintis’ diwujudkan untuk mengkaji sesuatu keberkesanan pelaksaanan dasar seperti ini dalam soal pendidikan masa depan anak bangsa.
"Kami bukan menolak kemajuan, sekaligus tidak menafikan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu , tetapi mensyaratkan agar matapelajaran Bahasa Inggeris akan menjadi syarat wajib lulus SPM menjelang 2016 adalah tidak wajar kerana dasar wajib lulus Bahasa Inggeris dalam SPM tidak menepati matlamat memperkukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara," katanya.
Tambahnya, apa yang membimbangkan Pendidik katanya, adalah tindakan terburu- buru bermula 2016 ini seolah- olah ada ‘agenda projek tersembunyi ’untuk mengaut keuntungan melalui perbekalan tender kepada mana-mana individu syarikat tertentu yang berselindung di sebalik retorik pelaksanaan atas dasar kononnya ‘demi masa depan pendidikan negara ‘ .
Menurut beliau lagi, cukuplah dasar PPSMI yang tidak konsisten dan bercelaru hinggakan pelajar dan guru menjadi ‘eksperimen’hingga merugikan dan mengorbankan masa depan anak bangsa.
Implikasinya, terdapat jurang perbezaan ketara antara pelajar bandar dengan di luar bandar atau pendalaman.
Masalah semakin meruncing dengan tiadanya kemudahan prasarana seperti akses internet dan perbekalan elektrik di kawasan luar bandar walaupun pebagai teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) berasaskan ICT disediakan, tambah beliau lagi.
"Kami ingin mendesak agar harus dikaji secara menyeluruh dan holistik sejauh mana kesediaan guru dan pelajar juga prasarana pendidikan dalam membuat keputusan terbaru ini kerana mereka adalah ‘pelaksana dasar ‘ yang akan melaksanakan apa jua keputusan dari kerajaan .
"Jangan mereka yang duduk di ‘kerusi empuk pejabat' hanya tahu membuat keputusan terburu- buru tanpa turun meninjau permasalahan golongan pelaksana dasar ini .Yang akan menjadi mangsa adalah guru dan pelajar serta pentadbir sekolah yang pastinya ‘akan terbeban’ dengan dasar yang tidak diteliti sebelum dilaksanakan pada tahun 2016," tegasnya.
Terdahulu beliau menyerahkan memorandum berhubung perkara itu kepada Timbalan Menteri Pelajaran II, P. Kamalanathan serta ahli parlimen Pakatan Rakyat agar membangkitkannya di parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan