TERDAPAT sebelas anjakan utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM – 2013-2025). Anjakan ini penting supaya transformasi pendidikan berlaku. Akses kepada pendidikan berkualiti adalah salah satu yang sangat mustahak.

Proses pendidikan sifatnya dinamik. Ia tidak saja perlu respons kepada faktor setempat dalam memberi erti kepada maksud pendidikan tetapi harus respons kepada perubahan global yang pantas dan kompleks.

Perubahan dalam pendidikan tidak sifatnya 'sekali air bah sekali pasir berubah'. Kemajuan sains dan teknologi umpamanya adalah dinamik dan produktif. Sekiranya sistem pendidikan gagal mengambil manfaat berbanding darinya Malaysia bakal terpinggir dalam arus perubahan dan kemajuan. Proses pendidikan dan perubahan berlaku secara berterusan.

Namun begitu asas-asas yang fundamental dalam dasar pendidikan negara seperti dwi-bahasa, etika dan nilai, patriotisme , pendekatan integratif dalam proses pengajaran dan pembelajaran selari dengan matlamat membangun peribadi seimbang dan harmonis seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan matlamat perpaduan negara.

Akses kepada pendidikan berkualiti tidak saja harus dilihat dari prasarana sekolah yang baik, integrasi kurikulum, kokurikulum dan ekstra kurikulumnya yang berkesan tetapi juga dihubungkan dengan kualiti pendidik dan proses pengajaran dan pembelajaran yang menyalurkan ilmu dan memberi kesan kepada penghayatan.

Pendemokrasian pendidikan yang berjalan harus mampu memberi peluang seimbang (equality and opportunity) kepada pelajar-pelajar bandar, pinggir bandar dan luar bandar. Sama ada mereka anak kumpulan elit mahupun golongan petani dan pemandu teksi akses kepada pendidikan berkualiti adalah suatu tuntutan.

Pendidikan pada hakikatnya bukan sekadar suatu proses memindahkan maklumat dan keterampilan dari guru kepada murid tetapi lebih jauh dari itu ialah proses transformasi atau perubahan diri manusia.

Pendekatan kognitif semata-mata yang diukur menerusi peperiksaan tidak membayangkan ukuran yang menyeluruh mengenai pencapaian murid. Keupayaan menghubungkan faktor afektif dan psikomotor secara berkesan mampu melahirkan watak holistik yang diperlukan oleh negara.

Justeru, akses kepada pendidikan berkualiti terhubung langsung dengan keupayaan sekolah, kualiti guru dan kurikulum dan keupayaan proses mendidik menyebabkan perubahan tidak saja berlaku di tahap kognitif tetapi ia terlihat pada binaan sahsiah dan watak.

Guru umpamanya harus melihat murid ibarat anaknya sendiri. Sifat kasih sayang dan belas kasihan harus ada pada mereka. Mereka adalah sumber contoh kepada murid supaya generasi penerus terbina dengan baik, cemerlang dan berkualiti.

Kualiti menjadi fokus utama merentasi semua anjakan kerana kualiti merupakan dimensi penting yang perlu diberikan perhatian segera. Sebahagian anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju pendidikan.

Di samping kepentingan asas fundamental, kualiti pendidikan menjadi penanda aras pembelajaran bahasa, matematik dan sains dengan piawai antarabangsa. Kedua, Melancarkan
Kurikulum Standard Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula 2017.

Ketiga, merombak peperiksaan kebangsaan dan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) untuk meningkatkan secara berperingkat peratusan soalan yang yang mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi pada 2016.

Keempat, memperluas akses dan meningkatkan kualiti laluan pendidikan bermula dengan pendidikan vokasional yang diberi sentuhan yang lebih dinamik di samping meningkatkan kualiti pra-sekolah dan menggalakkan enrolmen sejagat menjelang 2020.

Kelima, meningkatkan pelaburan dalam sumber fizikal dan sumber pengajaran untuk murid berkeperluan khusus dan melanjutkan pendidikan wajib dari 6 tahun kepada 11 tahun bermula pada umur enam tahun.

Amat penting juga anak-anak yang “gifted” diberi perhatian supaya kecerdasan akliah mereka dibangunkan sesuai dengan tuntutan daya kompetensi tinggi yang bakal menjadi aset negara.

Hal-hal yang disebutkan di atas adalah antara faktor penyumbang kepada pendidikan berkualiti supaya model pendidikan Malaysia yang merangkumi asas-asas fundamental pendidikan dan terbuka untuk menguasai manfaat berbanding dari sumber global bakal menghasilkan kualiti pendidikan yang sifatnya mewakili.