Berita Mutakhir
Diberitakan agensi berita Bernama, pada bulan Mac, 2011, bahawa Malaysia bakal memiliki dua buah loji nuklear yang bakal menjana 1,000 megawat tenaga elektrik, setiap satunya. Loji pertama akan siap beroperasi pada tahun 2021 dan loji kedua, setahun kemudiannya.
Manakala dalam suatu laporan lain, yang memetik kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB), loji nuklear pertama akan siap beroperasi pada tahun 2025. Barangkali perkataan nuklear akan menakutkan segelintir pihak yang cemburu dengan pembangunan satu Malaysia yang makmur dan maju ini.
Apatah lagi pengalaman ngeri senjata nuklear, dua butir bom atom bernama "Little boy" dan "Fat Man" ke atas Nagasaki dan Hiroshima, pada tahun 1945. Little Boy yang panjangnya 3 meter itu telah memusnahkan bandar Hiroshima, menjadikan kota itu seperti padang jarak padang tekukur, hancur! Begitu hebat tenaga nuklear. Kira-kira 70,000 ke 80,000 orang terbunuh.
Nuklear untuk keamanan
Jadi kita perlu jelaskan nuklear di Malaysia ini, untuk menjana tenaga elektrik. Ia bukan nuklear untuk senjata dan peperangan. Ia nuklear untuk keamanan. Ia hijau kedamaian tenaga kehidupan, bukan hitam kemusnahan kejam pembunuhan.
Sepertimana yang telah pun diperakui Perdana Menteri Najib Razak di hadapan Presiden Obama pada tahun 2011 di Bali dulu terhadap komitmen nuclear non-proliferation.
Ini kerana tenaga minyak dan gas akan habis. Oleh kerana loji nuklear tidak melepaskan karbon dioksida, maka kita namakan ia teknologi hijau. Meskipun sebenarnya istilah teknologi hijau untuk nuklear adalah kurang tepat.
Mahasiswa Malaysia pula sibuk memecahkan rekod Guiness. Yang pentingnya semua orang akan menerima istilah teknologi hijau untuk loji nuklear. Fikir nuklear, fikir hijau. Hijau bagus. Jikalau rekaan senibina loji nuklear berbentuk kubah keislaman itu pastinya lebih baik. Kita boleh namakan ia, Pusat Teknologi Hijau Al-Hikmah Al Sifari atau apa-apa sahaja nama-nama Arab.
Rayakan konsumerisme
Ini tenaga tidak bawa untung. Kalau rugi, macam mana kita mahu meneruskan rancangan Malaysia menjadi negara maju, selepas tahun 2020.
Tanpa teknologi hijau (baca: nuklear) ini, negara kita akan mundur, miskin, hina dan kehilangan daulatnya pada masa akan datang.
Seperkara lagi. Loji nuklear kita bakal mengamalkan konsep kitar semula yang menjadi teras amalan gaya hidup hijau lestari alam sekitar. Di sinilah letaknya logik utama untuk menamakan loji nuklear sebagai pusat tenaga hijau.
Pusat Teknologi Hijau itu juga akan turut mengitar semula sisa torium dari kilang nadir bumi.
Makanya kebimbangan orang ramai berkenaan ke mana sisa radioaktif Lynas akan dihumban telah pun terjawab.
Budaya konsumerisme kita terus rayakan - dengan berbagai-bagai produk moden dan terkini, hasil nadir bumi, untuk kita beli dan guna.
Sisa Lynas untuk Pusat Teknologi Hijau boleh menjana tenaga elektrik bernilai RM4 trilion.
Perkara ini telah pun dijelaskan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, merangkap Sahabat Alam Malaysia, SM Idris, Lynas thorium waste: A real health threat, bertarikh 11 Jun 2012.
Trajedi 2 Loji Nuklear
Jika kita bandingkan dengan negara-negara dunia ketiga lainnya, seperti Congo, Swaziland dan Zimbabwe, perlu kita semua persetujui, yang Malaysia jauh lebih bagus dan terkehadapan.
Dalam dunia ini, daripada kesekian banyak loji-loji nuklear, cuma ada dua buah loji nuklear yang berakhir dengan tragedi ngeri. Satu di Chernobyl, Kesatuan Soviet pada tahun 1986 dan satu lagi di Fukushima, Jepun, tahun 2011 yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan