Khamis, 14 November 2013

Duit tersorok

Ketika kecil dulu, selalu kita dengar pesanan daripada keluarga supaya berjimat untuk kecemasan. Hakikatnya hari ini, ramai antara kita tidak mempunyai simpanan ekstra sekiranya berlaku kecemasan.
Mungkin untuk mempunyai RM5,000 pada satu-satu masa sekiranya berlaku sesuatu di luar dugaan pun agak sukar bagi sesetengah orang. 
Dalam kewangan peribadi, amat penting mengutamakan diri sendiri terlebih dulu sebelum orang lain ataupun barangan. Wang untuk kecemasan amat penting sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diduga tidak kira apa saja keadaan kita. Anda perlu ̒backup̓ duit anda! 

Tidak kira berapa tinggi pun pendapatan kita atau setinggi mana pun pangkat kita di tempat kerja serta perancangan hidup dan keluarga kita yang lengkap, kita masih tidak dapat lari daripada kemalangan atau kecemasan yang datang dengan tiba-tiba.

Sama ada diberhentikan dari tempat kerja di luar kawalan anda, kematian ahli keluarga pemberi nafkah, perceraian, kos perubatan yang tidak diduga, baik pulih kerosakan rumah atau kereta, atau apa saja yang tidak pernah terfikir, kesemuanya antara kegunaan wang kecemasan.

Sekiranya tiada simpanan, maka apabila timbul masalah, kita akan mula mencari ahli keluarga dan kenalan untuk meminjam wang - suatu keadaan di mana kedua-dua pihak tidak selesa kerana masing-masing mempunyai masalah kewangan sendiri! 

Jumlah wang yang disimpan untuk kecemasan juga berbeza mengikut individu dan gaya hidup. Sering kali penasihat kewangan menyebut antara tiga hingga enam bulan perbelanjaan diri dan keluarga. Ia bergantung kepada gaya hidup anda, hutang yang anda miliki, jumlah ahli keluarga serta pakej insurans yang anda ambil. 

Perlu diingatkan juga insurans tidak melindungi anda dalam semua perkara, oleh itu membuat wang kecemasan anda lebih penting untuk tidak diabaikan. 

Sememangnya dalam hidup kita mahukan yang terbaik dan merancang segala-gala yang baik berlaku kepada kita. Pada masa sama, perlu juga kita bersiap sedia untuk sebarang perkara yang tidak baik. Sekiranya terdapat kecemasan atau masalah kecil yang memerlukan perhatian wang, ia mudah bagi kita untuk menanganinya sekiranya mempunyai sumber kewangan kecemasan ini. 

Tanpa sumber kewangan ekstra ini, masalah dan kecemasan kecil pun akan dilihat menjadi besar dan memberi tekanan yang amat dahsyat kepada diri kita dan keluarga sendiri. 

Sekiranya anda belum memulakan simpanan kecemasan anda, jangan berlengah lagi. Mulakan hari ini. Untuk mempunyai perbelanjaan ekstra sebulan bagi sesetengah orang bukanlah mudah. Apatah lagi untuk mengumpul perbelanjaan kos sara diri tiga hingga enam bulan. 

Mulakan langkah kecil dengan menetapkan matlamat simpanan anda jangka pendek seperti seminggu, dua dan jangka panjang seperti dua, tiga bulan akan datang. 
Berapakah simpanan yang anda ingin miliki dalam jangka masa terbabit? 

Cara mudah dalam menyimpan untuk kecemasan adalah dengan membuka bank akaun berasingan khas untuk kecemasan. Masukkan wang simpanan anda setiap minggu atau jadualkan waktu anda untuk menyimpan. Kemudahan seperti pemindahan wang automatik dari akaun bank utama anda ke akaun kecemasan yang berasingan juga akan memudahkan anda supaya anda tidak terlupa menyimpan. 

Sekiranya sukar menyimpan sejumlah wang yang besar setiap minggu atau setiap bulan, mulakan jumlah yang kecil, walaupun hanya RM20 hingga RM50. Apa yang anda inginkan adalah menjadikannya tabiat menyimpan dan sikit-sikit, lama-lama akan terkumpul juga dana kecemasan anda. Menyimpan secara konsisten lebih efektif daripada tidak mempunyai matlamat simpanan langsung. 

Wang kecemasan bukan saja membantu apabila hanya terdapat sebarang malang yang tidak diduga, tetapi juga dengan mengetahui anda mempunyai wang ekstra yang anda boleh harapkan satu hari nanti, ia mengurangkan tekanan pada diri anda menjalani hidup yang lebih bahagia! 


Berinteraksi mengenai kewangan, perniagaan dan motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan