Kajian menunjukkan bahawa sesuatu ilmu itu lebih mudah dihadam jika diajarkan dalam bahasa ibunda, kata Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan.
Beliau berkata gedung khazanah bahasa Melayu sebenarnya cukup kaya dan mampu menjadi medium penyebaran maklumat dan ilmu.
"Potensi bahasa Melayu untuk menjadi bahasa dunia khususnya dalam sektor ekonomi adalah tidak mustahil.
"Bahasa Melayu hanya berhadapan dengan krisis keyakinan dalam kalangan para penggunanya dek keterbatasan kosa kata untuk mengungkap perkembangan tamadun dunia yang berasaskan sains dan teknologi," katanya ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu VIII di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini Rabu.
Seminar dua hari bertemakan 'Bahasa Melayu Bahasa Negara Bangsa' itu anjuran bersama UPM dan DBP.
Dalam sidang akhbar kemudian, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan turut sependapat dengan Mohd Fauzi bahawa banyak kajian mendapati ilmu lebih mudah diterima jika diajar dalam bahasa ibunda.
"Salah satu kajian dilaksanakan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco)," katanya.
Menurutnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilihat sebagai tidak relevan untuk kembali dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.
Dr Awang Sarian berkata, pelaksanaan PPSMI menunjukkan berlaku kemerosotan peratusan pelajar lulus bagi kedua-dua matapelajaran tersebut.
"PPSMI dilihat tiada hala tuju dan kajian yang dilakukan Kementerian Pendidikan mendapati ia memang tidak praktikal dalam konteks demokrasi dalam sistem pendidikan.
"Kita mungkin boleh melahirkan ribuan orang yang hebat dalam Bahasa Inggeris (BI) tetapi jangan kita lupakan 24 juta penduduk di negara ini yang mahir dalam penguasaan bahasa kebangsaan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa yang merayu agar PPSMI dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.
Menurutnya, kajian Unesco menunjukkan pelajar lebih mudah memahami sesuatu ilmu dengan berkesan dalam bahasa ibunda (Bahasa Melayu) kerana ilmu dan bahasa berkait rapat.
"Kita perlu lihat Perancis, Jepun, Korea dan China. Ini berdasarkan pengalaman saya selama empat tahun di Beijing. Mereka tetap menggunakan bahasa kebangsaan, jadi itu tidak pernah melemahkan matapelajaran Sains dan Matematik mereka, " katanya.
Beliau berkata, BI sebaliknya perlu dikuasai sebagai alat untuk nilai tambah bagi memperkaya ilmu tetapi martabat BM itu tiada galang gantinya.
"Ini berlaku di seluruh dunia. Kalau kita sanggup mengorbankan 3 juta lebih pelajar di negara ini, bererti kita sanggup menidakkan hak pelajar terutamanya di kawasan luar bandar untuk mempelajari Sains dan Matematik dengan lebih berkesan.
"Apa yang penting bagi saya adalah keputusan dibuat kerajaan berdasarkan kajian yang saintifik dan menyeluruh. Oleh itu, kerajaan meminda PPSMI dan memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI)," katanya. -13/11/2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan