Rabu, 13 November 2013

Merapat renggang seni budaya

Dengan matlamat untuk mengisi kelompongan penerbitan berbahasa Melayu dengan nuansa serius, sebuah jurnal seni budaya dengan judul Obscura: Merapat Renggang berusaha untuk kembali meletakkan hal-hal seni dan budaya kembali ke tengah-tengah masyarakat dengan hasrat untuk menyuntik perbincangan dan penulisan yang lebih terbuka dan segar.

Tidak hanya mencakupi pelbagai aspek penulisan seperti esei, cerpen, sajak serta terjemahan serpihan karya sastera agung dari bahasa asing seperti Yunani dan Jerman, jurnal ini juga menampilkan artikel-artikel yang membawa perbincangan tentang filem, seni lukis, teater dan buku yang menjadi teras kepada penerbitan ini.

obscura arts culture front coverJurnal ini membawa matlamat yang cukup jelas untuk menerbitkan bahan-bahan yang mampu merancakkan perbincangan terhadap seni budaya, satu 'daerah' yang sering kelihatan tertinggal ketika kita membincangkan dengan rancak soal kehidupan sosial dalam bernegara, terutamanya di Malaysia.

Antara karya-karya asing yang diterjemahkan dan termuat di dalam terbitan sulung jurnal ini ialah dari Homer, Franz Kafka, Ernest Hemingway dan Mark Twain. 

Selain itu, penerbitan ini juga turut menampilkan tulisan-tulisan asli penulis serantau dan Malaysia seperti Goenawan Mohamad, WS Rendra, Iqbal, Nabila Najwa, Shaira Amira, Wahyudi Yunus dan ramai lagi. 

obscura arts culture back coverAntara penterjemah yang karyanya turut serta untuk edisi sulung ini pula ialah Za'ba, Khalid Jaafar, Eddin Khoo, Pauline Fan dan Amaluddin Zhafir.

Dalam kemeriahan penerbitan persendirian yang diterajui ramai orang muda, yang rancak menerbitkan pelbagai produk masing-masing kebelakangan ini, kepekaan penggunaan bahasa Melayu dengan sewajarnya masih ketinggalan, kita tidak seharusnya berhasrat untuk mengikut jalan ini.

Sebaliknya harus berusaha untuk meletakkan kembali bahasa itu di tempatnya, yang tentunya tidak tertakluk kepada cara berbahasa gaya institusi yang melihat bahasa sebagai satu perkara yang seragam. 

Obscura ingin meraikan keunikan penggayaan bahasa Melayu yang beragam, lebih kuat dan berakar.

Dalam banyak keadaan, kata 'sastera', 'seni' dan 'budaya' sering terkesan memencilkan dirinya ke satu sudut yang kononnya hanya boleh dihadap dan difahami oleh segelintir orang sahaja, misalnya konotasi yang menyebutkan ini; 'orang sastera' atau 'orang seni'. 

Untuk kami, itu bukan kesnya. Obscura bermaksud untuk memecahkan tanggapan itu. Sastera dan seni tidak hanya untuk segelintir tertentu, yang terpilih kononnya. 

Ia sepatutnya boleh dicapai dan dinikmati oleh sesiapa pun yang berminat dan tidak terbatas kepada golongan tumpuan yang kecil semata; asal saja ia tidak membosankan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan