Tidak timbul isu memartabat bahasa ibunda menyebabkan kemunduran akan terjadi. Kemajuan yang dicapai oleh Perancis, German, Jepun, China dan Korea adalah kerana memartabatkan bahasa ibundanya.

Malaysia mempunyai pengalaman memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu iaitu undang-undang, sains, perubatan dan teknologi. Ia menghasilkan ribuan graduan yang mampu melakukan ijazah lanjutan di luar negara kerana bahasa Inggeris menjadi bahasa pengukuh terhadap ilmu dan penyelidikan.

Tradisi ilmuwan silam dalam tamadun Islam memperlihatkan penguasaan berpuluh bahasa di kalangan mereka sebagai sumber menguasai ilmu. Ibn Sina, Abu Qasim Az Zahrawi, Al Biruni umpamanya menguasai pelbagai bahasa dan mereka menjadi ilmuwan tersohor dan menghasilkan karya yang banyak pada zamannya.

Dalam konteks Malaysia para murid dan pelajar mesti menguasai paling tidak dua bahasa iaitu bahasa ibunda dan bahasa Inggeris. Bahasa Arab juga penting kerana ia adalah bahasa Islam dan bahasa tamadun.

Bahasa-bahasa sukuan boleh juga dipelajari sebagai bahasa pilihan. Bahasa Mandarin umpamanya akan menjadi bahasa penting pada masa depan kerana China akan bangkit sebagai suatu kuasa besar masa depan dan ianya elok dipelajari.

Memartabatkan bahasa Melayu tidak saja kepada sebutan dan ejaannya yang standard atau baku tetapi pengkayaan termanya yang relevan dengan cabaran dan perubahan. Ia harus menjadi bahasa dinamik yang mendukung pemikiran falsafah dan insaniah di samping sains dan teknologi.

Sudah sampai masanya bahasa Melayu harus dijadikan bahasa antarabangsa kerana di rantau ini saja terhadap hampir 300 juta orang pengucapnya. Terdapat ratusan ribu pelajar-pelajar luar negara yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi yang patut mendedahkan mereka dengan bahasa Melayu ini.

Memartabat bahasa Melayu membolehkan tasawur atau pandangan alam setempat dan sejagat berkembang. Ribuan istilah al-Quran di dalam bahasa Melayu menjadikan bahasa itu bahasa ilmu dan bahasa tamadun.

Pemerkasaan Bahasa Inggeris amat perlu kerana sumber-sumber ilmu terkini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.

Bayangnya jika murid dan pelajar kita dalam PPPM ini akhirnya menguasai dwi-bahasa atau berbagai bahasa kepada sebahagiannya ia akan menjadi menjadikan Malaysia memiliki warga yang berdaya maju kerana kemahiran berbahasa boleh menyebabkan kemahiran berfikir dan kemahiran menguasai ilmu yang pelbagai.

Malah lebih elok sekiranya pembelajaran bahasa Inggeris mengambil kira etos Malaysia. Etos Malaysia membawa watak Malaysia dalam bahasa dan sastera dan ianya menyebabkan Bahasa Inggeris berkembang dalam acuan kita sendiri di samping resam keingerisannya.

Dalam tradisi Islam umpamanya tidak ada sikap mengenai linguistic chauvinism atau sikap cauvinis terhadap bahasa. Bahasa adalah medium atau alat berkembangnya ilmu dan budaya malah tamadun.

Al Biruni mempelajari bahasa Hind untuk membolehkan beliau mengambil ilmu yang ditulis dalam Tamadun India seperti matematik, astronomi, sains kerana terdapat
manfaat berbanding di situ.

Oleh itu memartabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah suatu kewajaran dan memperkasa bahasa Inggeris adalah suatu keperluan. Dalam konteks Malaysia bahasa Malaysia tidak saja bahasa persekolahan dan bahasa ilmu tetapi ia juga adalah bahasa perpaduan.

Perpaduan di Malaysia sesuatu yang amat utama. Kemajmukan yang terdapat memerlukan faktor bahasa sebagai penghubung dan asas komunikasi.

Bahasa mengembangkan ilmu dan kemahiran berkomunikasi. Bahasa Melayu yang dikembangkan dalam proses pengilmuan dan pendidikan di semua tahap boleh menyebabkan bahasa ini menjadi maju dan kebanggaan setiap warganya.

Kena ada tekad yang tinggi di kalangan setiap warganegara untuk memartabat bahasa Melayu, memperkasa bahasa Inggeris dan tidak meninggalkan bahasa-bahasa lain untuk dipelajari.

Tetapi keutamaan terhadap memartabat bahasa Melayu harus dilihat dalam kewajarannya kerana bahasa ini adalah bahasa lingua-franca dan bahasa ilmu pengetahuan yang sedang berkembang maju.