Kisah seorang yang telah disingkirkan dari Universiti kerana masalah displin sehingga berjaya menyambung pelajaran ketahap doktor falsafah wajar dijadikan iktibar kepada pelajar-pelajar yang telah mengambil peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.
Begini kisahnya:
Rupa-rupanya, selepas disingkirkan daripada universiti, beliau menyambung pula pelajaran di universiti tempatan lain yang agak terkenal juga. Lebih membuatkan saya kagum, beliau mengambil kelas pada waktu malam kerana pada waktu siang sibuk bekerja mengikut waktu pejabat daripada jam 9 pagi hingga 5 petang. Dan situasi ini berlanjutan selama tiga tahun setengah.
Saya tanya kepadanya, mengapa masih mahu melanjutkan pelajaran sedangkan beliau pada waktu itu sudahpun mempunyai pekerjaan? Apatah lagi beliau terpaksa memulakan kembali pengajian Ijazah Sarjana Mudanya daripada tahun pertama.
Jawapan yang diberikan amat menyentuh hati saya. Beliau merasakan betapa pentingnya ilmu pada zaman sekarang.
Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, persaingan untuk mendapat pekerjaan yang bagus tentunya sengit. Apatah lagi beliau adalah anak sulung dan anak yatim piatu. Beliau mempunyai rasa tanggungjawab yang besar terhadap adik-adiknya.
Ceritanya lagi, pedih menghadapi saat-saat kejatuhan pada waktu itu hanya Allah saja yang tahu. Pada saat rakan-rakan dan kenalan mula berprasangka dan menjauhkan diri, beliau hanya meluahkan isi hatinya kepada Allah.
Biarlah Allah saja yang menilai kerana katanya, sebesar mana pun dosa yang pernah dilakukan, Allah tetap menerimanya sebagai hamba-Nya apabila beliau bertaubat.
Pada akhir pertemuan, saya sekali lagi dikejutkan dengan prestasi pencapaiannya. Beliau kini ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah (PhD) di luar negara tanpa perlu membuat Ijazah Sarjana (Master) terlebih dulu.
Kekecewaan dulu membulatkan semangatnya untuk cemerlang dalam pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda sehingga melayakkan beliau dinobatkan sebagai pelajar terbaik di dalam kuliahnya.
Sungguh tidak sangka, kerana sebelum ini saya sering tertanya-tanya apakah nasibnya selepas mengalami nasib malang sekitar empat tahun lepas. Saya juga tidak terlepas daripada berpresepsi mengandaikan kehidupannya tentulah tidak stabil.
Namun siapalah saya untuk berandaian seperti itu. Ternyata janji Allah untuk menerima taubat hamba-Nya selagi mana mereka ingin kembali kepada-Nya kini terbukti depan mata.
Janji Allah untuk menganugerahkan nikmat untuk mereka yang berusaha dan bersabar atas segala ujian yang diberikan juga adalah benar. Ketika manusia lain berprasangka buruk dan menjauhi, kita sebenarnya tidaklah perlu untuk terlalu berdukacita.
Kerana kita masih ada Allah yang menciptakan kita. Biarlah orang menghakimi kita kerana kekhilafan yang telah dilakukan. Tetapi percayalah lambat laun neraca Allah juga yang dinilai pada hari pembalasan.
Kisah rakan saya tadi seolah-olah menjadi inspirasi kepada diri saya. Kisahnya juga seakan-akan menjadi tamparan kepada saya sebagai pendakwah.
Ada kala orang yang tidak kita sangka, sebenarnya mungkin lebih mulia daripada kita kerana pengabdiannya kepada Allah secara tersembunyi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan