Rabu, 16 April 2014

WACANA


1.      PENGENALAN

Penulisan karangan adalah komponen penting dalam kemahiran bahasa sehingga ia dijadikan satu gerak kerja utama dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sama ada pada peringkat sekolah rendah atau peringkat sekolah menengah. Kamarudin Husin (1996: 192) memetik pendapat Loban menyatakan bahawa kemahiran bahasa terbahagi kepada empat, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan akhir sekali ialah kemahiran menulis.  Penguasaan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan karangan bagi semua peringkat sekolah adalah tingkat terpenting kemahiran bahasa.
Kemahiran mengarang ini amat disedari oleh para pendidik dan pengkaji bahasa. Ianya perlu dipelajari dan dilatih sebagai aset penting yang perlu dimiliki oleh setiap murid dalam mengharungi dunia moden hari ini. Ini jelas kelihatan mencakupi ruang litup dalam dunia persekolahan, pekerjaan dan sosial. Penguasaan bahasa penulisan akan melicinkan perhubungan formal dalam bentuk surat- menyurat, laporan, pernyataan perasaan, dan penglibatan dalam lain-lain aktiviti penulisan sama ada dalam bentuk yang kreatif (kesusasteraan) ataupun yang berbentuk ilmiah.
 Lado (1964), Broto (1974), Bullock (1976), dan Isahak Haron (1979) berpendapat penulisan karangan bukanlah sekadar hasil kepandaian atau kemahiran mengubah atau menyusun kata-kata, frasa, dan ayat, tetapi merupakan kemahiran menyampaikan idea, fakta, dan sebagainya yang terdapat dalam pemikiran manusia (pengarang atau penulis) melalui alat komunikasi yang dinamakan bahasa (Awang Mohamad Amin, 1983:188).
Ketrampilan dalam mengarang perlu dikembangkan sejak dari peringkat sekolah rendah sehinggalah peringkat menengah melalui sistem pendidikan negara. Ini kerana semua mata pelajaran memerlukan kecekapan dalam pengucapan idea, fakta, dan hujah dalam bentuk tulisan. Marohaini Yusoff (1989: 179) mendapati bahawa fenomena pengajaran dan pembelajaran di sekolah lebih tertumpu kepada penghasilan isi atau fakta dalam kegiatan menulis atau mengarang, dan tidak kepada aspek-aspek penggunaan bahasa yang baik serta teknik-teknik mengarang yang berkesan. Selain keperluan berfikir untuk mendapatkan isi, pelajar juga tidak diajar bagaimana untuk berfikir bagi menghasilkan cara yang berkesan menyampaikan sesuatu mesej atau idea.
Kemahiran menulis adalah di antara cabang kemahiran yang perlu dipelajari oleh manusia untuk melengkapkan proses kelangsungan berbahasa secara natural dan mudah. Malah di dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah telah dinyatakan dengan jelas bahawa kemahiran menulis adalah keperluan wajib bagi selain daripada kemahiran membaca, mengira dan menaakul yang menjadi elemen pengukuhan aplikasi untuk perlaksanaan modul-modul pembelajaran di alaf baru ini. 
Keempat-empat kemahiran ini perlu melangkah seiring memandangkan keperluan pendidikan Bahasa Melayu dan mata pelajaran lain yang masih menetapkan pengukuran prestasi dan keupayaan murid-murid dinilai secara bertulis. Menulis tidak seperti membaca memerlukan kaedah yang spesifik dan memerlukan koordinasi minda dan anggota tubuh. Proses menulis adalah proses berterusan yang tidak tertakluk kepada pengajaran di sekolah tetapi berlangsung sepanjang hidup. 

Walshe, R.D. (1981) menyebut bahawa menulis ialah proses memilih, menggabung, menyusun dan mengembangkan gagasan di dalam ayat, perenggan atau untuk persembahan lisan seperti kuliah dan syarahan secara berkesan. Menulis memerlukan koordinasi tubuh yang sekata seperti minda, mata dan tangan untuk memilih ujaran dan kalimat yang sesuai untuk disepakati menjadi seperangkat ayat atau perenggan yang lengkap yang kemudiannya memberi makna dan kesan untuk melahirkan ilham atau idea untuk difahami dan diaplikasi oleh masyarakat umum, jika perlu.   
Menulis juga adalah proses merekod bahan-bahan ujuran ke dalam bentuk tulisan berdasarkan pendapat, idea dan pengalaman. Ia boleh jadi hanya sekadar simbol-simbol grafik yang disusun menjadi lambang dan membentuk perkataan, ayat dan seterusnya menzahirkan bahasa dan gagasan. Penulisan yang tersusun akan memberi makna dan memberi manfaat kepada khalayak pembaca dan pendengarnya.
Daripada A C Krizan dan Joyce P Logan (2000) mentakrifkan menulis adalah proses menyampaikan maklumat dan maksud. Proses penyampaian itu boleh jadi juga melalui grafik yang digabungkan dan berkait rapat dengan lambang bunyi yang diucapkan semasa kita bercakap sehingga dapat melahirkan gagasan yang difahami dan diikuti. Maklumat bertulis mempunyai keupayaan untuk disimpan dan dimanfaatkan dengan pelbagai cara seperti wahyu-wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W yang dikumpul dan direkodkan pada zaman Saidina Othman sehingga memberi kebaikan kepada umat Muslim meskipun ratusan tahun sudah berlalu. 
Bloomfield (1933: 21) di dalam Lyons (1995: 253) mengatakan bahawa penulisan bukanlah bahasa, tetapi cara mencatatkan bahasa dengan tanda yang dapat dilihat.Tanda-tanda yang dapat dilihat itulah yang dinamakan simbol atau huruf yang disatukan sehingga menjadi perkataan yang membawa makna. Beliau juga mentakrifkan penulisan ialah bahasa yang disampaikan melalui bunyi atau grafik malahan melalui cara yang tidak terhingga banyaknya.

2.      DEFINASI WACANA
Perkataan Wacana adalah padanan perkataan “discourse” dalam bahasa Inggeris. Perkataan “discourse” dalam Kamus Webster, 1983: 522 bererti hubungan fikiran dengan kata-kata, ekspresi idea-idea atau gagasan-gagasan atau percakapan. Hubungan secara umum, terutama sebagai suatu subjek kajian atau pokok bahasan, risalah tulisan, disertasi formal, kuliah, ceramah serta khutbah. Perkataan wacana menurut Kamus Dewan Edisi Baru 1993: 1484 bermaksud ucapan, pertuturan, percakapan, keseluruhan tutur yang merupakan suatu kesatuan.
Semua perkara yang melibatkan bahasa ialah wacana. Retorik menjadi komponen yang penting bagi wacana. Wacana adalah sebagai kesinambungan cerita dengan bahasa yang mudah dan kesinambungan ini ditunjang oleh jalinan maklumat. Dalam bidang pendidikan Bahasa Melayu pula telah diperkenalkan beberapa definisi wacana. Dari segi hierarki tatabahasa, wacana terletak pada heirarki yang tertinggi selepas ayat, seperti yang tergambar dalam rajah berikut:
            Perkataan --> Ayat --> Klausa --> Frasa --> Wacana
Wacana merupakan suatu bahagian atau unit yang paling tinggi yang melampaui sebaris ayat yang lengkap. Oleh yang demikian, wacana dapat dijelmakan dalam pelbagai bentuk sehinggalah meliputi peristiwa bahasa. Menurut Kamus Dewan (2007), wacana membawa maksud keseluruhan tutur kata yang merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan serta percakapan. Manakala menurut pendapat Harimurthi (1982) pula, wacana merupakan unit bahasa yang melebihi batas ayat.  
Sementara itu, Raminah Haji Sabran (1985) dalam bukunya yang bertajuk Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit bahasa yang melebihi batas ayat, kerana itu ia boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berturutan. Menurut beliau lagi, wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap. 
Berdasarkan pernyataan-pernyataan di atas, dapatlah dikatakan bahawa setiap bahasa mempunyai bilangan ayat yang tidak terhad. Walaupun begitu, sejumlah ayat tertentu hanya membawa satu tumpuan makna sahaja. Manakala tumpuan makna pula akan membentuk satu fokus pemikiran yang  mana di dalam tatabahasa ianya disebut sebagai wacana. Selain itu, wacana juga boleh disebut sebagai rentetan, tautan dan hubungan antara sistem bahasa yang tersusun sehingga menjadi satu bentuk ayat, perenggan, karangan, sebuah novel, sebuah majalah, buku seminar, bengkel, forum dan sebagainya.
Wacana berasal daripada perkataan Jawa iaitu wocono’ atau woco’ yang membawa maksud baca. Wacana juga terbahagi kepada dua jenis iaitu wacana jenis iaitu:
a)                   Wacana Jenis Lisan
b)                  Wacana Jenis Tulisan.

a)      Wacana Jenis Lisan
Wacana jenis lisan merupakan wacana yang melibatkan antara penutur dan juga pendengar. Wacana lisan dihasilkan atau dituturkan secara lisan dan melibatkan komunikasi secara langsung antara penutur dengan pendengar seperti aktiviti perbualan harian, temu ramah, ceramah, ucapan, khutbah dan sebagainya. Sebagai contohnya ialah seorang guru yang bertanya kepada muridnya kenapa tidak hadir ke kelas.
Wacana jenis ini melibatkan ekspresi wajah, nada suara, gerak badan dan sebagainya dalam menyampaikan sesuatu maksud. Wacana juga penting bagi menghasilkan kerja yang bermutu selain daripada boleh menyempurnakan sesuatu perkara. Sebagai contohnya, dengan menggunakan wacana yang betul melalui percakapan seseorang itu akan menyebabkan seseorang itu akan dihormati oleh orang lain. Hal ini kerana seseorang itu mampu mempamerkan kesungguhannya menggunakan bahasa dengan betul ketika bercakap.

b)     Wacana tulisan
Wacana Jenis Tulisan pula ialah wacana yang melibatkan bidang penulisan melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca. Komunikasi yang berlaku dalam wacana tulisan ini adalah secara tidak langsung. Contoh wacana tulisan adalah seperti tulisan rencana, akhbar, majalah, novel, surat rasmi yang ditulis kepada kerajaan, laporan, memo dan sebagainya.
Wacana bukan sekadar diperingkat ayat, malahan meliputi perenggang, bab, buku dan siri buku. Tujuh ciri ketekstualan perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang baik sama ada dalam penghasilan penulisan atau pengucapan.
Sesebuah wacana tulisan yang baik perlu memperlihatkan pertautan dan kesinambungan idea. Pertautan dan kesinambungan idea ini bukan sekadar antara ayat dengan ayat atau antara satu perenggan dengan satu perenggan, bahkan dari satu bab dengan bab yang lain. Hal ini penting untuk memperlihatkan kesatuan bagi menghasilkan wacana yang utuh.

3.       DEFINISI DAN KONSEP TATABAHASA WACANA DALAM PENULISAN KARANGAN 
Pengajaran tatabahasa wacana dalam penulisan yang terancang juga dapat membantu murid-murid memahami unsur-unsur tatabahasa, fungsinya dan makna tatabahasa (Arbak Othman 1985:19). Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM 2001, aspek tatabahasa sangat ditekankan dan dijadikan dasar kecekapan berbahasa dan diajarkan secara terancang dalam konteks bagi menghasilkan ketepatan berbahasa. Ini bagi membolehkan murid-murid mengikuti pengajaran tatabahasa secara berkesan dan memudahkan pemahaman mereka. Pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi ini membantu murid menghasilkan ayat yang gramatis dan berkomunikasi dengan berkesan.  Pengajaran tatabahasa juga hendaklah diajar dengan tidak memisah-misahkan aspek-aspek tatabahasa yang hendak diajar dengan kemahiran bahasa yang lain.
Menurut Abd. Aziz Abd Talib (2000:236) pengajaran tatabahasa membolehkan murid-murid berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM 2001 mencadangkan bahawa tatabahasa hendaklah digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran berbahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis.Tujuan utama penggabungjalinan ini dalam pengajaran tatabahasa adalah untuk memastikan murid akan belajar dan menguasai tatabahasa wacana dalam penulisan karangan sambil melakukan aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam kemahiran yang ditetapkn (Awang Sariyan, 2004:194).

4.      STRATEGI PENGAJARAN WACANA PENULISAN KARANGAN PERINGKAT SEKOLAH RENDAH
Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang indah dan unik kerana ayat-ayat yang digunakan mempunyai tautan antara satu ayat dengan ayat yang lain (kohesi) dan mempunyai perkaitan antara satu perenggan dengan perenggan yang lain (koheren). Daripada pernyataan inilah yang membuatkan sesebuah karya bahasa Melayu menjadi hebat. Bagi melahirkan karya Bahasa Melayu, ianya bukanlah sesuatu yang sukar tetapi sekiranya seseorang penulis itu tahu menggunakan wacana yang baik dan tepat, sudah pasti hasilnya juga akan hebat. Semasa berbahasa, sama ada tulisan ataupun lisan mestilah mempunyai kesinambungan antara satu idea dengan satu idea yang lain atau memperlihatkan wacana yang berkesan agar pendengar atau pembaca memahami isi atau hujah yang ingin dan akan disampaikan.
Wacana yang baik mestilah mempunyai beberapa perkara seperti kohesi dan koheren yang dinyatakan di atas dan termasuklah tahu akan fungsi wacana itu sendiri. Penanda wacana tidak boleh digunakan pada tempat-tempat sembarangan, kerana kesalahan penggunaan penanda wacana akan menjejaskan atau merosakkan maksud sesuatu hujah yang ingin disampaikan. Pendengar atau pembaca akan keliru atau tidak memahami idea yang ingin disampaikan itu.
Setelah diteliti dengan mendalam, bolehlah dikatakan bahawa penanda wacana di dalam bahasa Melayu ini mempunyai banyak kepentingannya dalam menghasilkan sesebuah karya ataupun penulisan.  Seseorang penulis haruslah tahu menggunakan dan faham akan kepentingan wacana itu sendiri kerana aspek penanda wacana akan mempengaruhi:
a)      Cara pengolahan serta penyusunan struktur ayat.
b)      Pembahagian perenggan.
c)      Penggunaan kosa kata.
d)     Penggunaan bahasa secara keseluruhan.
Pelajar-pelajar sekolah rendah terutamanya, perlu didedahkan dengan cara-cara meningkatkan kemahiran penggunaan wacana terutamanya di dalam aktiviti penulisan. Penggunaan wacana yang lemah akan menjejaskan kualiti sesebuah karya. Menurut Kamaruddin Hj Husin (1988) di dalam buku HBML 3203, Tatabahasa dalam Pengajaran Bahasa Melayu keluaran Open University Malaysia, menjelaskan bahawa beberapa perkara perlu diberikan perhatian oleh murid dalam usaha menghasilkan penulisan yang baik, iaitu sebelum, semasa dan selepas menjalankan aktiviti penulisan.
Pelajar yang pintar akan membuat persediaan awal sebelum menulis sesebuah karya atau karangan. Mereka sepatutnya melakukan banyak latihan tatabahasa terlebih dahulu dan membaca lebih bahan-bahan tambahan seperti akhbar, majalah, buku-buku ilmiah dan sebagainya bagi mendapatkan idea serta menambah perbendaharaan kata dan mengetahui penanda wacana yang sesuai dan menarik untuk dimasukkan ke dalam hasil tulisan mereka nanti.  
Pelajar juga patut didedahkan dengan latihan-latihan menyalin semula petikan atau perenggan yang mengandungi penanda wacana yang baik agar mereka dapat memahami fungsi penanda wacana yang sesuai di dalam hasil penulisan mereka nanti. (Kamarudin Hj. Husin, 1988), menyarankan agar seorang guru sentiasa memberi perhatian dalam beberapa perkara dalam mengajarkan penulisan iaitu:
a)      Sebelum Penulisan
                                            I.            Murid perlu memahami format karangan dan apakah yang diinginkan dalam soalan.
                                        II.            Mengetahui maklumat penting dalam soalan atau kata kunci .
                                     III.            Menjana idea isi penting dan seterusnya membina draf karangan .
                                     IV.            Memastikan tiga aspek utama penulisan di patuhi iaitu, pendahuluan, isi dan penutup. Kebiasaannya setiap karangan perlu mempunyai satu perenggan pendahuluan, empat perenggan isi dan penutup.
b)      Semasa Penulisan
                                           I.            Memastikan format yang perlu di patuhi
                                        II.            Membuat huraian berdasarkan isi karangan/kerangka penulisan.
                                        III.            Menulis pendahuluan secara ringkas. Memadai dua atau tiga baris ayat.
                                       IV.            Setiap isi seharusnya di nyatakan dengan jelas beserta huraian dan contoh.
                                         V.            Membuat rumusan atau kesimpulan daripada karangan

4.1 MENULIS PENDAHULUAN
            Pendahuluan yang baik dapat memberikan gambaran menyeluruh tentang perbincangan dalam bahagian isi. Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat pengenalan. Satu ayat pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. Ini diikuti oleh dua atau tiga ayat huraian, yang merupakan ayat yang menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat pengenalan.
            Perenggan pendahuluan perlu memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Maknanya, dalam perenggan ini belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya.   Perenggan ini diakhiri oleh satu ayat pokok, yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.
Pendahuluan merupakan keterangan ringkas tentang perkara yang akan diketengahkan dalam karangan. Pendahuluan yang baik, lancar dan berkesan akan memberikan gambaran isi karangan yang mantap dan menarik. Pendahuluan yang baik dapat memberikan gambaran menyeluruh tentang perbincangan dalam bahagian isi. Teliti perkara-perkara berikut yang perlu ada dalam perenggan pendahuluan.

Perkara-penting Dalam Pendahuluan
Ringkasnya perenggan pendahuluan mengandungi ayat-ayat yang disusun seperti berikut:
·                     Kehendak soalan yang dikemukakan.
·                     Isu atau perkara yang berkaitan dengan soalan
·                     Keterangan isu atau perkara yang berkaitan dengan kehendak soalan
·                     Hala tuju soalan (sebab / langkah / kesan)
Terdapat beberapa jenis pendahuluan yang biasanya digunakan dalam penulisan karangan, antaranya:
a.       Pendahuluan jenis definisi
b.      Pendahuluan jenis pendapat
c.       Pendahuluan jenis suasana
d.      Pendahuluan jenis persoalan
e.       Pendahuluan jenis peribahasa  

a)      Pendahuluan Jenis Definisi.
Memberikan takrif · makna · definisi

Contoh:
Pembelajaran secara berkumpulan dapat didefinisikan proses pembelajaran bersama rakan dalam kumpulan kecil. Hal ini bermaksud pelajar akan berkongsi idea dan maklumat bersama rakan lain dalam kumpulan sewaktu proses pembelajaran.

b)     Pendahuluan Jenis Pendapat.
Menyatakan pendapat mengenai sessuatu perkara.
Contoh: 
Kebanjiran warga asing yang datang ke Malaysia untuk mencari peluang pekerjaan bukanlan sesuatu yang positif. Hal ini kerana Jabatan Imigresin merekodkan sebahagian  pendatang asing ini merupakan pendatang asing tanpa izin yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Tanpa kawalan yang sewajarnya, mereka akan menyumbang kepada pelbagai masalah sosial negara Pendahuluan yang baik dapat memberikan gambaran menyeluruh tentang perbincangan dalam bahagian isi.

a)      Pendahuluan Jenis Peribahasa.
Memasukkan satu atau lebih peribahasa Melayu yang sesuai.
Contoh:
“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafaka”' adalah peribahasa yang amat bersesuaian dengan kita sebagai masyarakat berbilang kaum. Tanpa permuafakatan yang jitu dan teguh, kita pastinya akan menjadi ahli masyarakat seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing masing”. Hal ini kerana permuaafakatan akan membawa pelbagai kebaikan yang akan memajukan negara,


b)     Pendahluan Jenis Persoalan.
Mengemukakan beberapa pertanyaan yang berkaitan dengan tajuk
Contoh:
Kita sebagai rakyat Malaysia sering berkata bahawa kita perlu mengamalkan nilai-nilai murni. Adakah kita mengetahui apakah nilai–nilai murni itu? Adakah kita yakin bahawa kita telah berjaya menerapkan nilai murni dalam diri? Sejauh mana pula kita mengamalkan nilai-nilai murni ini dalam kehidupan seharian? Segala persoalan ini seharusnya mampu membuat kita merenung kembali dalam diri.

c)      Pendahuluan Jenis Suasana.
Menggambarkan sesuatu melalui suasana yang sesuai.
Contoh:
Kedinginan pagi disusuli kicauan unggas hutan amat menarik perhatianku. Di kiri dan kananku adalah kehijauan rimba yang mangamit sukmaku, betapa tenangnya berada di desa ini. Ku lihat cahaya matahari mencuri masuk di celah dedaun pokok menandakan hari kian cerah.

4.2 MENULIS BAHAGIAN ISI
Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain.Isi perlu  mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa.Isi yang utama didahulukan.
Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, pelajar amat digalakkan  banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri.
Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Sebaik-baiknya satu isi, dalam setiap perenggan kecuali jika isi tersebut agak pendek dan saling berkaitan. Pelajar perlu sentiasa memerhatikan penghuraian isi agar tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Selain itu pelajar menyenaraikan isi  sebelum menulis. Hal ini bertujuan setiap isi tidak bercampur dengan isi lain.
Penghuraian setiap perenggan tidak semestinya sama panjang. Ianya bergantung kepada penekanan sesuatu isi. Kebiasaannya isi utama di huraikan lebih panjang berbanding yang lain kerana diberi lebih penekanan. Perenggan isi terdiri daripada:
a)      Isi utama.
b)      Huraian tentang isi utama.
c)      Mengemukakan bukti/contoh/ data/ statistik.
d)     Rumusan/ pendapat/ cadangan.

Contoh isi karangan
Tajuk               : Langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar
Skop                : Kaedah mengatasi pencemaran alam sekitar
Pendahuluan   : Pencemaran membawa banyak keburukan_ perlu dibendung_ pelbagai  langkah perlu dijalankan

Isi–isi penting
§  (A1)     Kempen kesedaran perlu diperhebat_ menyedarkan orang ramai supaya memelihara alam sekitar daripada pencemaran.
Contoh: Ceramah dan pameran tentang kesan pencemaran alam sekitar.
§  (A2)     Program pendidikan tentang bahaya pencemaran. Perlu diterapkan dalam sistem pendidikan sekolah.
Contoh: Program Anak Angkat Sungai.
§  (A3) Penguatkuasaan terhadap alam sekitar._ Hukuman berat kepada pihak yang mencemarkan alam sekitar.
Contoh: Pembuangan sisa toksik, pembakaran terbuka dan pembalakan haram dikenakan denda dan hukuman penjara.
§  (A4) Memperbaik sistem pengangkutan awam_ mengurangkan jumlah kenderaan yang menggunakan bahan api fosil. Untuk mengelakkan pencemaran udara yang lebih teruk
§  (A5) Melaksanakan kempen pemeliharaan dan pemuliharaan.
Contoh: Kempen kitar semula bahan terbuang

4.3 PENUTUP
Kaedah menulis Bahagian Penutup
Sesebuah karangan itu seharusnya disudahi dengan penutup yang tepat dan jelas dan bersesuaian dengan huraian yang ditulis sebelum itu. Tidak kiralah apa jua laras wacana tersebut sama ada cerita, catatan, perbahasan dan sebagainya.
Pelajar seringkali mengabaikan komponen penutup kerana berandaian bahawa bahagian ini kurang penting dalam sesebuah karangan . Tanpa penutup sesebuah karangan akan dianggap tergantung. Penutup merupakan penegasan kepada isi yang telah dihuraikan dalam bahagian pengembangan isi.

Aspek penting dalam penutup
Mulakan ayat dalam bahagian kesimpulan dengan menggunakan frasa seperti berikut:

a)                  Ayat / Frasa memulakan penutup.
1)      Kesimpulannya
2)      Sebagai kesimpulan, dapatlah dikatakan bahawa ….
3)      Berdasarkan keterangan-keterangan tersebut, jelaslah bahawa …..
4)      Ringkasnya, jelaslah bahawa ….
5)      Kenyataan-kenyataan tersebut menunjukkan bahawa….
6)      Natijahnya, jelaslah bahawa …

Penutup dalam penulisan karangan yang berformat perlu disudahi dengan penutup mengikut format yang telah ditentukan dalam karangan berkenaan.Pelajar perlu mengemukakan rumusan pendapat, pandangan ataupun saranan tentang keseluruhan isi karangan yang telah dibincangkan. Teliti perkara-perkara yang perlu ada dalam perenggan penutup seperti di bawah.

b)                  Ayat / Frasa memulakan penutup berformat
1)      Sekian, terima kasih.
2)      Saya sudahi syarahan saya dengan serangkap pantun,
Pucuk pauh delima batu
anak sembilang di tapak tangan
sekian sampai dini dahulu
buat tatapan pembaca sekalian.

Penutup dalam karangan jenis cerita ialah kesudahan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bahagian isi cerita. Pastikan penutup dalam karangan jenis cerita sejajar dengan kehendak soalan. Umpamanya, jika soalan berkehendakkan “menceritakan cara memulihkan rakan yang pengsan”, pastikan pada penghujung cerita rakan yang dipulihkan itu sedar daripada pengsan. Jangan biarkan penghujung cerita tergantung.
Pastikan perenggan penutup ditulis dalam satu perenggan sahaja. Bagi mendapatkan hasil yang baik dalam penggunaan wacana dalam kalangan pelajar ini, guru juga sepatutnya meminta murid melengkapkan atau membina ayat-ayat berdasarkan penanda wacana yang betul. Seterusnya, murid juga perlu diberi latihan menyusun ayat berdasarkan urutan ayat serta meletakkan penanda wacana dan kata hubung yang sesuai.
Murid juga diminta untuk melengkapkan perenggan berdasarkan urutan cerita dengan memasukkan penanda wacana yang sesuai dan betul di antara ayat atau perenggan supaya terdapat kohesi dan koherennya.
Bagi menghasilkan sesebuah karya yang baik dan menarik, pelajar mestilah sentiasa merujuk kamus untuk mengetahui erti atau makna perkataan sukar atau perkataan baru yang bakal digunakan di dalam sesuatu penulisan.
Pendedahkan penggunaan penanda wacana yang betul patut dimulai sejak awal lagi agar mereka tidak kekok dan mampu mengaplikasikannya secara berkesan. Pemantauan dan perlaksanaan yang secara sistematik serta berterusan diikuti pengembangan secara konsisten adalah usaha gabung pelbagai pihak yang di harap mampu memacu usaha kita bagi melahirkan seorang penulis atau karyawan yang berkaliber di masa hadapan. Ironi dengan pengabungan tugas dan fungsi demi mencapai matlamat yang sama adalah satu langkah yang baik dan koheran dalam membentuk wadah pendidikan melalui bidang penulisan.
Wacana merupakan unit yang berada di tingkat bahasa yang teratas melampaui tiga kategori besar iaitu ayat, penggunaan bahasa dan juga amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan bukan tentu bahasa. Wacana dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. 



5.      CIRI-CIRI DAN KEPENTINGAN MENGAPLIKASI WACANA DALAM PENULISAN KARANGAN
Ciri- ciri wacana
Menurut Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan edisi Ketiga pula, terdapat dua ciri utama dalam sebuah wacana yang utuh iaitu:
a)      Kohesi (atau tautan)
            Wacana dicirikan oleh kesinambungan maklumat. Maka kesinambungan di sini di ertikan sebagai kesatuan makna. Ini bermakna kohesi merupakan hubungan antara ayat dalam sebuah wacana. Tidak kira sama ada dari segi strata gramatikal atau strata leksikal tertentu. Penguasaan dan juga pengetahuan kohesi yang baik akan dapat menghasilkan wacana yang baik. Kaedah yang digunakan ialah berdasarkan penyampaian maklumat lama dan baru.
            Wacana  juga di cirikan oleh kesinambungan maklumat yang diertikan sebagai kesatuan makna. Kesatuan makna dalam wacana ini pula dapat di lihat dari segi makna logik dan makna tautan. Menurut Halliday dan Hassan (1976) tautan merupakan satu set kemungkinan yang,  wujud dalam bahasa untuk menjadikan suatu teks itu berkesatuan.Tautan juga memperlihatkan jalinan unjuran dalam bentuk ayat bagi membentuk teks atau konteks dengan cara menghubungkan makna yang terkandung dalam unsur.
b)     Koheren (atau runtutan).
Menurut Lehman (1984) wacana mempunyai ciri-ciri koheren atau keutuhan wacana, maksud pengirim, pemberian informasi, situasi pengujaran dan pertautan. Koheren bermaksud keterikatan unsur-unsur dunia teks, terutamanya susunan gagasan atau konsep. Jalinan hubungan yang mengetengahkan hal tersebut dan  isi teks supaya mudah difahami secara relevan.
Menurut Lehman (2002) terdapat empat aturan yang menetapkan aturan tersebut iaitu:
1)      Aturan pengulangan
2)      Aturan perkembangan
3)      Aturan hubungan 
4)      Aturan tidak bercanggah.

c.   Tujuan sesuatu wacana
            Menurut Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, beliau menjelaskan juga ciri-ciri yang lain termasuklah tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan interteks atau peranan wacana–wacana lain yang membantu pendengar atau pembaca memahami apa yang didengar atau dibaca.
            Tujuan wacana adalah penting untuk memilih teknik penyampaian wacana sama ada naratif, deskriptif, eksposisi atau penghujahan. Tujuan juga menentukan bentuk wacana sama ada ucapan, syarahan, surat rasmi atau tidak rasmi dan sebagainya.
d. Makna dalam Wacana
           Keutuhan sesuatu wacana adalah penting dan ianya dapat dilihat daripada kewujudan hubungan dengan aspek makna berdasarkan penggunaan tatabahasa yang betul. Hubungan wacana dengan makna dapat ditinjau daripada kesepaduan makna yang wujud berdasarkan aspek tatabahasa yang digunakan.

6.      KEPENTINGAN MENGAPLIKASI WACANA DALAM PENULISAN KARANGAN
Gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal ditentukan oleh kaitan antara penutur dengan masyarakat sekitarnya. Karya menggunakan gaya bahasa yang sesuai kepada para pembaca. Adakalanya, gaya bahasa yang digunakan mampu menimbulkan kesan dialek sosial (laras bahasa) dalam pertuturan.
Wacana juga mempunyai tujuan menentukan jenis sesuatu ayat tersebut. Kata hubung dan penanda wacana yang digunakan akan menentukan jenis-jenis sesuatu ayat bergantung fungsi sesuatu ayat tersebut. Jika tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah ayat tanya. Ianya bagi mengelakkan pengulangan maklumat atau pengulangan ayat yang mempunyai tujuan atau matlamat yang sama. Penulisan bertujuan untuk pembaca menilai dan mengenalpasti hubungan hasil bacaan dengan pembacanya. Sesuatu penulisan yang baik dapat dinilai melalui sejauh mana bahan tulisan itu mampu menyakinkan pembacanya. Pencerahan dari segi maklumat dan pengolahannya yang sempurna mampu mengwujudkan satu bentuk penghubung antara bahan bacaan dengan pembacanya.
Ciri wacana yang seterusnya ialah berdasarkan kaitan penutur dengan pendengar iaitu wacana lisan. Penanda wacana dan kata penghubung berfungsi sebagai pengabung jalin antara maklumat yang diterima dan menjadikannya serasi dan bertepatan.  Segala maklumat akan digabungkan mengikut hiraki dan keutamaan. Pengabungan antara maklumat dan fakta akan dipisahkan dengan mengunakan perenggan yang ianya seharusnya saling berkait dan saling bertautan. Maklumat yang bertentangan tidak boleh dimuatkan dalam wacana. Contohnya: Kelmarin dia tidur sehari suntuk. Kelmarin dia tidur hingga jam 9.00 pagi.
Selain itu, wacana perlu mempunyai unsur-unsur susun atur menurut sebab, akibat, tempat, waktu, keutamaan dan sebagainya. Ayat- ayat itu harus mempunyai urutan yang berkait rapat. Ayat- ayat dihubungkan dengan menggunakan penanda wacana agar ayat- ayat tersebut berkohensi (makna tautan) dan koherens (logik). Ayat tautologi (ayat yang sudah dinyatakan sebelumnya) tidak perlu diulang.
Wacana harus mempunyai andaian dan inferensi. Maklumat pertama dalam wacana digelar andaian, manakala maklumat berikutnya disebut inferensi. Kebiasaannya satu ayat hanya mempunyai satu inferensi sahaja. Tetapi adakalanya, andaian dapat ditentukan oleh pembaca itu sendiri tanpa perlu ditulis. Secara tidak langsung pembaca dapat menghayati sesuatu penulisan tersebut dan menikmatinya. 
Wacana haruslah mempunyai maklumat baru dan dapat dibuktikan dengan data atau sesuatu fakta. Sesuatu ayat yang mengesahkan kebenaran ayat sebelumnya tidak boleh dimasukkan dalam satu wacana. Ianya berfungsi untuk membenarkan sesuatu yang mungkin akan dianggap sebagai satu andaian atau rumor pada permulaannya menjadi sesuatu yang hakiki dan fakta. Ini akan menghasilkan sesuatu penulisan yang bersifat kenyataan, logik dan realistik dan bukanlah rekaan individu semata- mata.
Semua perkara yang melibatkan bahasa ialah wacana. Retorik menjadi komponen yang penting bagi wacana. Fonologi merupakan kajian mengenai fonem sebagai unit bahasa. Sintaksis pula mengkaji ayat sebagai unit bahasa, binaan serta konstruksinya. Bagaimanapun kebolehan menguasai bidang-bidang ini hanya menjamin kebolehan menggunakan sistem dan peraturan-peraturan tatabahasa sahaja. Tingkat-tingkat fonem, morfem, kata. frasa, klausa, isi. Kamus
Wacana ialah satu unit bahasa yang lengkap dan melebihi tingkat ayat. Oleh kerana sifatnya yang lengkap wacana mempunyai tubuh teks seperti berikut:
1.         Pendahuluan
2.         Tubuh - isi, munasabah, logik, menarik, berkesan, usur-unsur paralinguistik (tanda bacaan, cetakan tebal, miring, garis tebal)
3.         Penutup
4.         Graf, jadual, peta dan statistik.

7. APLIKASI PENULISAN WACANA BERBENTUK FAKTA DI SEKOLAH RENDAH
Untuk menghasilkan karangan fakta yang baik perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian:
a)      Anda perlu mempunyai pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang sekiranya bercadang menulis karangan jenis ini.
b)      Sebelum menulis, anda mestilah memastikan bahawa anda mempunyai fakta-fakta yang cukup tentang tajuk yang dikemukakan.
c)      Isi atau fakta yang diberikan perlu lengkap, tersusun, dan menepati kehendak soalan.
d)     Cara penyampaiannya mestilah ringkas serta menggunakan ayat dan kata yang mudah difahami.
e)      Carilah sekurang-kurangnya 4 isi penting, pendahuluan dan penutup.
Jadual dibawah berikut menerangkan aplikasi kemahiran wacana dalam penulisan sekolah rendah.
TAJUK/OBJEKTIF
KEMAHIRAN
MEDIA PENGAJARAN
KBKK
Penulisan: Fakta
Objektif :
Murid boleh:
1. Memberikan pendapat yang bernas mengenai sesutu perkara yang dibincangkan.
 2. Menyusun isi mengikut turutan yang betul
3. Menyenaraikan isi dengan menulis semula isi dengan baik.
4. Murid dapat menjawab soalan yang dikemukakan dengan tepat berdasarkan bahan.
5. Menulis karangan lengkap dalam bentuk prosa.
1.1.6 Menjawab soalan tentang isi sesuatu bahan.
1.4.9. Menyatakan pendapat yang bernas dalam perbincangan.
3.3.5. Menulis semula maklumat yang diterima dengan teratur.
3.4.0 Menulis karangan dalam bentuk Prosa.
1. Gambar.
2. Kad jalur.
3. Carta.
4. Keratan akhbar.
1. Menjana idea.
2. Menyusun mengikut keutamaan.

Jadual: Tajuk atau Objektif, Kemahiran, Media Pengajaran dan Kemahiran berfikir secara kritis dan Kreatif (KKBK).

Contoh 1.
Kita digalakkan rajin membaca buku cerita. Terangkan faedah-faedah yang diperolehi daripada membaca.
Rangka karangan.

Pendahuluan
Membaca hobi yang banyak memberi faedah.
·         Boleh didapati di perpustakaan atau kedai buku.
·         Masa yang terluang digunakan dengan membaca buku.
Idea
1) Dapat menambah pengetahuan.
·         Membaca fiksyen sains, mengetahui tentang sains.
·         Boleh digunakan dalam mata pelajaran sains.

2) Dapat memberikan hiburan.
·         Perasaan merasa tenang sesudah membaca.
·         Mudah untuk mengulang kaji buku sekolah.
3) Bahasa akan bertambah baik.
·         Membaca buku inggeris bahasa kita semakin baik.
·         Kita mahir mengarang.

4) Menggunakan masa terluang dengan berfaedah.
·         Tidak membaca akan bercampur dengan budak nakal.
·         Boleh melakukan perbuatan yang tidak baik.
Penutup
Masa itu sangat berharga.
·         Genakan masa terluang dengan membaca.
·         Perlu membaca sebuah buku dalam tempoh seminggu.


Mengarang karangan berpandukan peta minda diatas.

Faedah-faedah Membaca Buku Cerita.
           Membaca buku cerita merupakan hobi yang banyak memberikan faedah. Buku cerita boleh kita perolehi dari perpustakaan ataupun menerusi kedai buku. Oleh sebab faedahnya yang begitu banyak, setiap masa yang terluang perlu kita mafaatkan dengan membaca buku cerita.
            Membaca buku cerita boleh menambahkan ilmu pengetahuan sebagai contoh, sekiranya kita membaca buku fiksyen sains, kita akan mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan sains. Segala pengetahuan itu boleh kita gunakan dalam pembelajaran matapelajaran Sains di kelas.
            Membaca buku cerita juga dapat memberikan kita hiburan. Sebagai contoh, hati kita yang tertekan akan menjadi tenang dengan kesudahan kita yang kita baca. Apabila kita merasa tenang mudahlah untuk kita mengulang kaji buku-buku pelajaran pula.
            Seterusnya, membaca buku cerita dapat mempercepatkan penguasaan kita dalam sesuatu bahasa. Sebagai contoh, sekiranya kita rajin membaca buku dalam bahasa inggeris, penguasaan kita dalam bahasa inggeris akan bertambah baik. Kesannya, mudah untuk kita mengarang dalam bahasa tersebut apabila guru menyuruh kita mengarang cerita.
            Membaca buku cerita sebenarnya adalah satu cara untuk kita menggunakan masa lapang kita dengan baik. Sebagai contoh jika kita tidak membaca, mungkin kita menggunakan masa itu untuk bercampur gaul dengan budak-budak nakal. Kesannya, kemungkinan kita akan terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat seperti mencuri.
            Sesungguhnya, masa itu emas dan membaca pula sebagai jambatan ilmu. Oleh itu, gunakan masa yang terluang dengan membaca. Bermula hari ini, kita hendaklah tanamkan azam untuk membaca sebuah buku cerita setebal 60 halaman dalam tempoh seminggu agar kita menjadi murid yang tajam hati.

Maksud peribahasa yang digunakan.
Tajam hati–cerdas dan pintar.

Contoh 2.
Kita dididik sepaya berjasa kepada guru. Tulis sebuah karangan tentang cara-cara membalas jasa guru.

Rangka karangan.
Pendahuluan
Menjadi murid yang tahu membalas jasa.
·                     Di rumah membalas jasa ayah dan ibu.
·                     Di sekolah membalas jasa guru.
Idea
1) Rajin belajar.
·         Memberi tumpuan ketika belajar.
·         Akhirnya mendapat keputusan yang baik.

3)      Mengamalkan nasihat guru.
·         Guru mahu kita berbudi bahasa.
·         Bersifat lemah lembut dengan guru.

3) Tahu menghargai jasa guru.
·         Berterima kasih dan memberikan hadiah ketika Hari Guru.
·         Guru bangga murid tahu mengenang budi.

4) Ingat guru walaupun sudah meninggalkan sekolah.
·         Menghubungi bekas guru.
·         Mengeratkan siraturahim.
Penutup
Banyak cara membalas jasa guru.
·         Berusaha menjadi murid yang tahu mengenang budi.
·         Orang berbudi kita berbahasa.
·         Mengarang karangan berpandukan peta minda diatas.

Mengarang karangan berpandukan peta minda di atas.

Cara-cara Membalas Jasa Guru.
Kita perlu menjadi seorang yang tahu membalas jasa. Di rumah kita perlu membalas jasa ayah dan ibu. Di sekolah pula kita perlu membalas jasa guru.
Untuk membalas jasa guru, kita perlu rajin belajar. Sebagai contoh, semasa di dalam kelas, kita memberikan tumpuan semasa guru mengajar. Kesannya, kita akan mendapat keputusan yang cemerlang dan sudah tentu guru kita akan merasa gembira.
Kita juga perlu mengamal segala nasihat guru. Sebagai contoh guru mahu kita bersikap berbudi bahasa. Oleh itu, apabila kita bertemu dengan guru, kita perlu menunjukkan sikap lemah lembut.
Seterusnya, kita tahu menghargai jasa guru. Sebagai contoh, kita mengucap terima kasih atau member hadiah ketika Hari Guru. Kesannya, guru merasa murid-muridnya insan yang tahu mengenang budi.
Selanjutnya, kita perlu menghargai guru walaupun kita sudah meninggalkan alam persekolahan.Sebagai contoh, kita patut menghubungi bekas guru kita di sekolah rendah satu ketika dahulu. Cara ini dapat mengeratkan siraturrahim yang sudah lama terjalin.
Sebagai kesimpulannya, banyak cara yang boleh dilakukan untuk membalas jasa guru. Oleh itu, kita berusaha menjadi murid yang tahu mengenang budi. “Orang berbudi kita berbahasa, orang member kita merasa”.

Maksud peribahasa yang digunakan.
Orang berbudi kita berbahasa, orang member kita merasa – Tiap-tiap pemberian orang hendaklah dibalas dengan pemberian; kita harus berterima kasih.

7.1 JENIS-JENIS PENULISAN/KARANGAN FAKTA
Berdasarkan tujuan, ada karangan berbentuk fakta seperti perbincangan, persuasi, rencana, dekskripsi dan narasi. Karangan narasi dan dekskripsi adalah bersifat fiksyen, dan karangan rencana, persuasi dan perbincangan yang sifatnya non-fiksyen.

a)      Penulisan Fakta Berbentuk Rencana
Penulisan fakta berbentuk eksposisi ialah sesuatu penulisan yang memaparkan sejumlah pengetahuan atau informasi. Ianya bertujuan agar pembaca mendapat informasi dan pengetahuan yang jelas dan sahih. Penulisan fakta jenis ini haruslah mengemukakan data dan fakta-fakta yang berkaitan yang boleh diambil daripada sesuatu kajian ataupun keterangan oleh pakar-pakar untuk memperjelas pemaparannya.
Penulisan fakta berbentuk eksposisi adalah salah satu jenis pengembangan paragraf dalam penulisan yang dimana isinya ditulis dengan tujuan untuk menjelaskan atau memberikan pengertian dengan gaya penulisan yang mempunyai ciri-ciri seperti singkat, akurat dan padat. Contoh-contoh penulisan fakta berbentuk eksposisi adalah berita di akhbar dan petunjuk penggunaan dan laporan kegiatan

b)     Penulisan Fakta Berbentuk Perbincangan.
Penulisan fakta berbentuk argumentasi adalah bertujuan untuk membuktikan suatu kebenaran sehingga pembaca meyakini kebenaran sesuatu idea, gagasan atau pendapat tersebut adalah benar dan terbukti. Pembuktian sesuatu penulisan tersebut memerlukan sesuatu  data dan fakta yang meyakinkan.
Penulisan fakta adalah salah satu jenis pengembangan perenggan dalam penulisan yang ditulis dengan tujuan untuk meyakinkan atau memujuk pembaca mempercayainya. Dalam penulisan fakta berbentuk argumentasi, isi ialah merupakan penjelasan, pembuktian, alasan, mahu pun ulasan objektif dimana perlu disertakan dengan contoh, analogi dan sebab akibat bagi tujuan penerangan sesuatu fakta tersebut. Struktur informasi dalam penulisan fakta jenis ini adalah seperti berikut:
1)      Pendahuluan, bertujuan untuk menarik perhatian pembaca, memusatkan perhatian pembaca kepada argumen yang akan disampaikan, atau menunjukkan dasar-dasar mengapa argumentasi dikemukakan.
2)      Tubuh, bertujuan untuk membuktikan kebenaran yang akan disampaikan dalam perenggan argumentasi sehingga kesimpulan yang akan dicapai juga benar. Kebenaran yang disampaikan dalam tubuh harus dianalisis, disusun, dan dikemukakan dengan mengadakan observasi, eksperimen, penyusun fakta, dan buah fikiran yang logik.
3)      Kesimpulan atau ringkasan, bertujuan untuk membuktikan kepada pembaca bahawa kebenaran yang ingin disampaikan melalui proses penalaran memang dapat diterima sebagai sesuatu yang logik.

8.      KESIMPULAN
Kemahiran menulis sebenarnya meruapakan kemahiran berbahasa tertinggi yang berkembang selari mengikut perkembangan otak dan pengalaman berbahasa seseorang. Sebagai kemahiran bahasa, fungsinya ialah untuk tujuan berkomunikasi dan menyelesaikan pelbagai urusan dalam aktiviti harian yang meliputi bidang pendidikan, sosial, dan pekerjaan.
Berdasarkan premis yang berkaitan fungsinya sebagai alat komunikasi, sebuah kajian yang menggunakan model komunikatif (Hymes, 1972; Canale, 1983; Allen dan rakan-rakan, 1983; Bachman, 1990; Hutchinson, 1990) telah dijalankan oleh satu pasukan penye1idik dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia pada tahun 2003. Kajian yang mendapat peruntukan kewangan di bawah Fundamental research Grant Scheme (FRGS) dilakukan bagi menilai tahap penguasaan kemahiran menulis dalam bahasa Melayu murid sekolah kebangsaan. Pengumpulan data adalah meliputi sampel di Semenanjung Malaysia untuk digunakan dalam pembinaan jadual matriks yang mengandungi tanda aras kemahiran menulis murid sekolah kebangsaan dari Tahun 2 hingga Tahun 6.
Dalam sesebuah hasil penulisan yang baik dan bermutu, penggunaan penanda wacana atau dikenal juga sebagai perangkai ayat dapat memastikan wujud kesinambungan dan pertautan antara satu idea dengan idea yang lain. Kewujudannya dalam sesuatu wacana secara berkesan akan memantapkan hasil penulisan tersebut selain dapat membuat perkaitan antara ayat dengan ayat, mahupun antara perenggan dengan perenggan.
Dalam usaha mengemukakan contoh dalam huraian, penggunaan frasa yang sesuai diperlukan juga dan hendaklah mengikut kesesuain konteks ayat juga Jelaslah, aspek penanda wacana akan mempengaruhi pengolahan,sturktur ayat,pemerenggan ,kosa kata, dan bahasa secara keseluruhannya yang sangat diperlukan dalam usaha menghasilkan sebuah karangan yang baik.Contoh-contoh yang dipaparkan di atas diharap dapat dijadikan garis panduan kepada pelajar dalam menghasilkan sebuah karangan yang berkualiti.

9.      BIBILOGRAFI

1.                   Juriah Long, Raminah Hj. Sabran & Sofiah Hamid. (1990). Pendekatan mengajar  bahasa Malaysia.Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
2.                   Kamarudin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa. Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn. Bhd.
3.                   Raminah Hj. Sabran. (1993). Kecekapan berkomunikasi dalam bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti. 
4.                   Raminah Sabran & Rahim Syam. (1985). Kaedah pengajaran bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti. 
5.                   Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM]. (2001). Sukatan pelajaran kurikulum bersepadu sekolah menengah bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
6.                   Zainol Ismail. (2003). Fokus Unggul/ UPSR Penulisan. Johor Bahru: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.
7.                   Atas talian :http://psasir.upm.edu.my/3169/1/Pengajaran Kemahiran Menulis Karangan Bahasa Melayu di Sekolah.pdf    (tarikh muat turun  :12 FEB 2014 )
8.                   http://abihulwa.blogspot.com/2009/03/ciri-ciri-penulisan-berkesan.html  ( tarikh muat turun : 10 FEB 2014)
9.                   http://gurubm.blogspot.com/2010/05/pengajaran-tatabahasa.html  (tarikh muat turun : 7 FEB 2014)
10.               http://syalieyza.blogspot.com/2009/10/pengajaran-tatabahasa-bahasa-melayu.html  ( tarikh muat turun : 2 FEB 2014 )
11.               http://www.scribd.com/doc/50083013/penulisan-tatabahasa  (tarikh muat turun : 2 Februari 2014)
12.               http://mohdnorizwansulaiman.blogspot.com/2009/10/kemahiran-menulis.html (tarikh muat turun : 31 Januari 2014 )
13.               http://gcbm29td.blogspot.com/2009/03/pendahuluan-karangan.html (tarikh muat turun : 24 Januari 2014)

14.               http://www.scribd.com/doc/31516795/Panduan-Menulis-Isi-Karangan-Pendapat (tarikh muat turun : 21 Januari 2014 ) 

3 ulasan:

  1. Banyak maklumat yg berguna. minta izin untuk rujukan sya

    BalasPadam
  2. penulisan yang sangat bermaklumat. terima kasih dan mohon diizinkan untuk rujukan saya..

    BalasPadam
  3. Dari segi hierarki tatabahasa, wacana terletak pada heirarki yang tertinggi selepas ayat, seperti yang tergambar dalam rajah berikut:
    Perkataan --> Ayat --> Klausa --> Frasa --> Wacana

    Betul ke susunan awak tu? mcm something wrong je..saya rasalah begini susunannya:

    fonem>morfem>kata>frasa>klausa>ayat>wacana

    BalasPadam