KUALA TERENGGANU - Guru perlu bijak mengawal emosi dan tidak menjatuhkan hukuman ke atas murid tanpa merujuk pihak atasan terlebih dahulu, memandangkan sensitiviti bidang pendidikan kini begitu meluas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib berkata, setiap guru perlu lebih berhati-hati dalam mengenakan hukuman supaya tidak menimbulkan polemik atau keadaan tidak selesa kepada murid, ibu bapa dan masyarakat.

“Merujuk kes yang berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Perak baru-baru ini, tindakan guru itu secara tidak langsung memberi pandangan negatif terhadap profesion perguruan, seolah-olah guru tiada etika pendidikan, pembelajaran dan pengajaran.

“Malah memberi gambaran seolah-olah sistem pendidikan dan latihan guru tidak berkesan, sedangkan program yang diatur sistematik di mana setiap guru perlu melepasi proses dan latihan praktikal sebelum mendapat kelulusan menjadi seorang guru,” katanya.

Ghazali berkata, mengikut etika perguruan, semua perkara telah disentuh bermula dari perwatakan seorang guru sehingga kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran.

“Di sekolah, kita ada jawatankuasa disiplin, guru disiplin dan guru hal ehwal murid. Mereka boleh hukum pelajar dan setiap kesalahan itu mesti direkodkan. Guru tidak boleh buat sembarangan, kerana Kementerian Pendidikan dah letak garis panduan hukuman terhadap murid.

“Setelah lembaga disiplin pelajar bermesyuarat dan mendapati kes itu munasabah untuk dikenakan tindakan, barulah hukuman dikenakan.

"Di Terengganu, kita masih menggunakan peraturan sama di bawah Buku Panduan Pengurusan Disiplin Sekolah 1959,” katanya.

Bagaimanapun, Ghazali berkata, dalam kes di SJKC di Perak itu, pihak sekolah dan masyarakat tidak seharusnya menyalahkan guru itu 100 peratus kerana tidak mengetahui punca sebenar guru itu bertindak sedemikian.