Khamis, 14 November 2013

Bunyi bahasa pinjaman

SEBAGAI salah satu bahasa yang pesat berkembang di dunia, bahasa Melayu turut mengalami perubahan, pembinaan dan perkembangan.

Perhubungan antara penutur bahasa Melayu dengan penutur bahasa-bahasa lain, terutamanya bahasa Arab dan bahasa Inggeris menyebabkan bahasa Melayu telah mengalami proses peminjaman bunyi bahasa daripada bahasa-bahasa tersebut.

Bahasa Melayu tidak dapat mengelak daripada meminjam bunyi bahasa asing ini bagi memenuhi keperluan untuk menampung lambakan bentuk kata pinjaman yang memperkaya khazanah perbendaharaan kata bahasa Melayu.

Bahasa Melayu telah menerima sembilan konsonan pinjaman bagi melengkapkan keperluan semasa kerana 18 konsonan asli bahasa Melayu sedia ada  iaitu p, b, t, d, k, g, c, j, m, n, ny, ng, s, h, r, l, w, dan ymasih belum berupaya untuk menampung kemasukan kata pinjaman dari segi proses pengejaan.
Penggunaan konsonan pinjaman ini dalam bentuk-bentuk perkataan yang dieja mengikut ejaan lama seperti berikut:
(i)    f - feri, sifir, qaf
(ii)    v - video, universiti
(iii)    th - thabit, mithal, bahath
(iv)    dz/ dh - dzat, dharab, nidzam, hadhir, haidh
(v)    z - ziarah, azam, Aziz
(vi)    sh - sharat, mashhur, skuash
(vii)    kh - Khamis, akhir, barzakh
(viii)gh - ghaib, baghal, baligh
(ix)    q - qari, baqa, fariq

Pada umumnya bunyi-bunyi pinjaman di atas masih digunakan, namun sesetengah bunyi telah ditukar mengikut sistem ejaan baharu. Contohnya:
(i)    ‘th’ menjadi ‘s’:
    ‘mithal’ menjadi ‘misal’
    ‘Thalatha’ menjadi ‘Selasa’
    ‘Ithnin’ menjadi ‘Isnin’
    ‘bahath’ menjadi ‘bahas’
    ‘thalji’menjadi ‘salji’

(ii)    ‘dz’ menjadi ‘z’:
    ‘dzalim’ menjadi ‘zalim’
    ‘dzat’ menjadi ‘zat’
    ‘dzikir’ menjadi ‘zikir’
    ‘adzab’ menjadi ‘azab’
    ‘adzan’ menjadi ‘azan’

(iii)    ‘dh’ menjadi ‘d’:
    ‘haidh’ menjadi’haid’
    ‘Ramadhan’ menjadi ‘Ramadan’
    ‘redha’menajdi ‘reda’
    ‘dhaif’ menjadi ‘daif’
    ‘fardhu’ menjadi ‘fardu’

(iv)    ‘sh’ menjadi ‘sy’:
    ‘sharat’ menajdi ‘syarat’
    ‘isharat’ menjadi ‘isyarat’
    ‘shaitan’ menjadi ‘syaitan’
    ‘masharakat’ menjadi ‘masyarakat’
    ‘skuash’menjadi ‘skuasy’

(v)    ‘q’ menjadi ‘k’:
    ‘qadhi’ menjadi ‘kadi’
    ‘maqam’ menjadi ‘makam’
    ‘aqidah’ menjadi ‘akidah’
    ‘aqiqah’ menjadi ‘akikah’
    ‘aquarium’ menjadi ‘akuarium’

Beberapa istilah yang tergolong sebagai istilah keagamaan yang berkait rapat dengan akidah dan al-Quran dikekalkan ejaannya mengikit bunyi asal.  Contohnya:
(i)    Quran
(ii)    qadak
(iii)    qadar
(iv)    qari
(v)    thani

Tidak menjadi kesalahan jika kita meminjam apa-apa sahaja aspek bahasa sama ada dari segi bunyi, imbuhan atau kosa kata daripada bahasa lain, namun kita perlu sesuaikan penggunaannya agar selaras dengan cara penggunaan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu bukanlah suatu bahasa yang rigid dan tidak dapat menerima unsur asing kerana keperluan semasa memerlukan kita melakukan proses peminjaman. Bahasa-bahasa yang mantap di dunia seperti bahasa Inggeris, Arab, Perancis, Jerman dan sebagainya juga menerima perkataan pinjaman kerana dunia kini tanpa sempadan.

Namun yang penting, kita hendaklah menggunakan sesuatu yang kita pinjam mengikut acuan kita sendiri. Marilah sama-sama kita memartabatkan bahasa Melayu. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Antara dari dan daripada

PENGGUNA bahasa Melayu selalu beranggapan kata sendi nama dari dan daripada mempunyai fungsi yang sama dan boleh bersaling ganti penggunaannya. Permasalahan ini sering membelenggu pengguna bahasa Melayu secara disedari ataupun tanpa disedari sejak sekian lama.

Cuba perhatikan ayat-ayat di bawah yang selalu digunakan oleh pengguna bahasa Melayu sama ada dalam bentuk penulisan atau lisan.

(i) Rosli berusaha menghalang kumbang perosak daripada merosakkan tanamannya.

(ii) Penjenayah itu telah berjaya melepaskan diri daripada  ditahan oleh pihak polis.

Kedua-dua ayat di atas tidak gramatis kerana tidak menggambarkan fungsi  penggunaan kata sendi nama dari dan daripada yang sebenar. Kata sendi nama dari dan daripada mesti berada di hadapan kata nama atau frasa nama.

Kata sendi nama dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang  menyatakan arah, tempat, atau waktu. Contohnya:

(a) Penggunaan kata sendi nama dari yang menunjukkan tempat atau arah.

(i) Kereta itu dipandu secara laju dari arah barat.

(ii) Pandangan yang diberi berkaitan isu itu ditafsir dari sudut agama.

(b) Penggunaan kata sendi nama dari yang menunjukkan waktu atau masa.

(i) Mariah tinggal di Kluang  dari tahun 1995 lagi.

(ii) Azuar mempengerusikan mesyuarat itu dari pukul lapan pagi hingga pukul satu tengah hari.

Kata sendi nama daripada pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, institusi dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda, dan perbezaan atau perbandingan.

(a) Penggunaan kata sendi nama daripada yang menunjukkan punca bagi manusia, haiwan, benda, institusi dan unsur mujarad. Contohnya:

(i) Afifah telah menerima kad ucapan hari jadi daripada Nurfarah.

(ii) Peserta ekspedisi ke Gunung Jerai itu terdiri daripada ahli jawatankuasa Persatuan Ilmu Kemanusiaan USM.

(iii) Kita mesti bersatu untuk mengelakkan diri daripada ancaman musuh.

(b) Penggunaan kata sendi nama daripada yang menunjukkan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda. Contohnya:

(i) Benang berasal daripada kapas.

(ii) Kumpulan muzik itu terbentuk hasil daripada ilham Ruhil Amani.

(c) Penggunaan kata sendi nama daripada yang menunjukkan perbezaan atau perbandingan. Contohnya:

(i) Kereta yang dibeli oleh Sharizad  lebih mahal daripada kereta Imran.

(ii) Cara Nasir bercakap lebih matang daripada usianya yang sebenar.

(d) Penggunaan kata sendi nama daripada yang menunjukkan sebahagian daripada semua. Contohnya:

(i) Sebahagian besar daripada pekerja  tidak suka akan pengarah syarikat itu.

(ii) Seorang daripada tiga perompak itu telah berjaya diberkas oleh pihak polis.

Walaupun kata sendi nama daripada mesti hadir di hadapan kata nama atau frasa nama, namun ada kekecualian dalam penggunaannya. Kata sendi nama daripada boleh hadir di hadapan kata kerja atau frasa kerja dan kata adjektif atau frasa adjektif untuk menyatakan perbezaan atau perbandingan. Contohnya:

(i) Abang Mus lebih suka memandu kenderaan sendiri daripada menaiki bas.

(ii) Lebih baik berdiam diri daripada sedih akan kegagalan kita.

Kesalahan penggunaan kata sendi nama dari dan daripada merupakan antara  kesalahan penggunaan bahasa yang sering dilakukan oleh pengguna bahasa Melayu.

Walaupun kesalahan ini dianggap remeh oleh sesetengah pengguna bahasa Melayu, namun kita semua mesti berusaha untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul sentiasa diberi keutamaan. Marilah sama-sama kita memartabatkan bahasa Melayu. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Mensasarkan Atau Menyasarkan?



YANG mana satukah daripada kata kerja terbitan di bawah yang betul?mensasarkan atau menyasarkan? mengkagumkan atau mengagumkan? mensucikan atau menyucikan? menyintai atau mencintai?

Kesalahan penggunaan ini dapat dikesan di mana-mana sahaja sama ada dalam bentuk penulisan ataupun ucapan. Jawaban bagi persoalan di atas akan terjawab dengan sendirinya apabila pembaca selesai membaca hasil penulisan ini.

Dalam penulisan pada kali ini saya akan mengulas tentang cara penggunaan imbuhan awalan meN- dalam bahasa Melayu. Imbuhan awalan meN- ialah awalan yang membentuk kata kerja. Awalan ini mempunyai lima bentuk varian, bergantung pada huruf pertama kata dasar yang bercantum dengannya. Bentuk-bentuk varian dimaksudkan ialah me-, mem-, men-, meng- dan menge-.

(i) meN- menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf m, n, ny, ng, r, l, w dan y.

Contohnya, makan menjadi memakan, marah (memarahi), nanti (menanti), nasihat (menasihati), nyala (menyala), nyanyi (menyanyi), nganga (menganga), ngengek (mengengek), rantai (merantai), rotan (merotan), lawan (melawan), labur (melabur), warta (mewartakan), waris (mewarisi) dan yakin (meyakinkan)

Termasuk ke dalam jenis ini ialah kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k, dan s. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar berubah menjadi bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya (homorganik), iaitu p menjadi m, t menjadi n, k menjadi ng dan s menjadi ny.

Contohnya, pesan menjadi memesan, pukul (memukul), tetap (menetap), tari (menari), karang (mengarang), kata (mengata), salin (menyalin) dan sinar (menyinar)

(ii) meN- menjadi mem- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf b.

Contohnya, bilas menjadi membilas, basuh (membasuh), beri (memberi), bantu (membantu), buru (memburu) dan lain-lain lagi.

Terdapat beberapa perkataan bermula dengan huruf p yang menerima imbuhan awalan mem- dan dianggap kekecualian. Contohnya, pelopor menjadi mempelopori, pelawa (mempelawa), percaya (mempercayai), punya (mempunyai), peduli (mempedulikan) dan lain-lain lagi.

(iii) meN- menjadi men- apabila diimbuhkan pada kata dasar  yang bermula dengan huruf d, c, j, sy dan z.

Contohnya, deru menjadi menderu, dayung (mendayung), curi (mencuri), cari (mencari), jahit (menjahit), jolok (menjolok), syukur (mensyukuri), syarat (mensyaratkan), ziarah (menziarahi) dan zahir (menzahirkan).

Terdapat dua kekecualian pada bentuk kata dasar, iaitu ternak dan tertawa yang menerima awalan men- tanpa berlaku pengguguran iaitu ternak menjadi menternak dan tertawa (mentertawa).

(iv) meN- menjadi meng- apabila digabungkan dengan kata dasar yang bermula dengan huruf g, gh, kh, h, a, e, i, o dan u.

Contohnya, gali menjadi menggali, garu (menggaru), ghairah (mengghairahkan), ghaib (mengghaibkan), khusus (mengkhususkan), hantar (menghantar), hantu (menghantui), amuk (mengamuk), alir (mengalir), ejek (mengejek), ekor (mengekori), ikut (mengikut), ikat (mengikat), olah (mengolah), oceh (mengoceh), ubat (mengubati) dan ulang (mengulang).

Terdapat satu bentuk kekecualian , iaitu kata dasar kaji yang huruf pertamanya tidak berubah menjadi sengau apabila bergabung dengan awalan meng-, iaitu mengkaji. Bentuk ini berbeza daripada bentuk mengaji.

(v) meN- menjadi menge- apabila digabungkan dengan kata dasar yang bersuku kata satu.

Contohnya, cat  menjadi mengecat, bom (mengebom), sah (mengesahkan), tin (mengetin), had (mengehadkan), lap (mengelap) dan lain-lain lagi.

Jika imbuhan awalan meN- digabungkan dengan kata dasar daripada perkataan pinjaman, terdapat sedikit perbezaan dari segi cara penggabungannya. Contohnya, kata dasar tafsir menjadi kata terbitan mentafsir bukannya menafsir. Dalam penulisan yang akan datang saya akan menjelaskan kaedah menghasilkan kata terbitan daripada kata dasar perkataan pinjaman. Marilah sama-sama kita memartabatkan bahasa Melayu.

Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Mari Kita Menanam Tebu



Gambar ladang tebu abang ipar aku di Liman Kati, Kuala Kangsar, Perak. Ianya sudah berusia hampir 10 bulan. Hanya tinggal 3 bulan sahaja lagi bakal mengeluarkan hasil.

Pelbagai maslah dari benih tebu yang hanya bertahan selama 3 hari sahaja sehinggalah batang tebu yang tumbang kerana terlalu banyak rumpunya (8 batang tebu dalam satu rumpun). Pelbagai teknik dan kaedah digunakan bagi mengatasi masalah tersebut. Antaranya dengan mengaji pekerja-pekerja asing (indon) untuk mempercepatkan proses penanaman, mengunakan baja kompos yang berkualiti tinggi, penjajaran tanaman dan batas, membina kolam ternakan ikan (keli, haruan dan lampam) dan membina penahan mengunakan buluh dan dawai bagi mengukuhkan rumpun tebu tersebut.


Hasil yang diperolehi adalah diluar jangkaan beliau, yang mana di anggarkan pada mulanya hasil bagi setiap batang hanyalah sekitar 4-5 kilo sahaja telah meningkat hingga ke paras 7-8 kilo sebatang tebu. Serumpun tebu juga meningkat dari anggaran awal dari 4-5 batang serumpun kepada 7-10 batang serumpun tebu.



Wow!!! menakjubkan. Hasil yang dianggarkan pada mulanya juga meningkat dari anggaran awal kira-kira 240,000 kilo mencecah sehingga lebih dari 300,000 kilo untuk keluasan ladang sebanyak 6 ekar. Pendapatan juga berubah dari anggaran awal iaitu dari kira-kira RM400,000 semusim naik kepada anggaran RM 600,000 semusim.



Memang betulah apa yang disarankan oleh kerajaan sebelum ini, hasil pertanian adalah penyumbang utama pendapatan rakyat diluar bandar dewasa ini. Skala ladang yang besar dan komersial dibantu oleh agensi-agensi berkaitan mampu membuahkan hasil yang lumayan kepada mereka-mereka yang mahu menceburinya.

Tahniah

Islam bentuk minda kritis

Jika seseorang ingin membaiki sesuatu perkara atau peralatan, dia terlebih dahulu hendaklah ada pengetahuan atau ilmu mengenainya. Jika tidak nanti, niatnya yang baik untuk membaiki itu akan menatijah kerosakan semata, bukan memulihkan. Ini yang disebut sebagai tikus membaiki labu, atau tukang besi membaiki komputer. 

Tanpa ilmu, bukan bertambah baik tetapi bertambah rosak. Islam juga demikian. Niat yang baik semata untuk mempertahan atau menyampaikan ajaran yang agung ini tidak memadai jika yang melaksanakan tugasan itu tidak cukup pengetahuan dalam perkara yang disampaikan tersebut. 

Saya tidak menyatakan seseorang yang hendak berdakwah menyampai mesej Islam mesti menjadi sarjana besar terlebih dahulu. Tidak! Sama sekali tidak. Tetapi, dia hendaklah faham dengan baik bab atau perkara yang disampaikan itu. 

Umpamanya, jika dia bercakap mengenai cara sujud dalam solat, maka dia jelas tentang hadis-hadis mengenai perkara tersebut. Jika dia bercakap pendirian Islam terhadap penganut agama lain, dia juga hendaklah jelas dan faham dalam perkara tersebut.
Tidak boleh hanya berpijak kepada maklumat yang dikutip tanpa kepastian, atau tidak boleh pulak bercakap hanya atas sesuatu sentimen semata. 

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (Wahai Muhammad): Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutku menyeru kepada agama Allah berdasarkan bukti yang jelas nyata. Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Surah Yusuf: ayat 108)

Mimpi bukan hujah agama

Saya amat dukacita apabila tertonton satu siaran televisyen di bawah nama ‘sirah' di mana seorang ‘ustazah' telah menceritakan perihal kelahiran wanita terkenal Rabi‘ah al-‘Adawiyah. Kononnya, semasa kelahirannya, keluarga begitu miskin dan bapa malu hendak meminta bantu jiran tertangga. 

Pada malamnya, bapanya bermimpi berjumpa Rasulullah SAW yang menyuruh beliau meminta wang 400 dirham dari Gabenor Basrah. Kononnya, Rasulullah SAW suruh beliau menyatakan kepada gabenor berkenaan: 

"Wahai Gabenor! Engkau biasanya berselawat pada malam Jumaat sebanyak 400 kali, namun pada hari Jumaat yang lepas engkau telah menguranginya, maka engkau pun didenda dengan membayar 400 dirham kepada bapa Rabi‘ah." 

Cerita yang seperti ini, mungkin dikutip oleh ‘ustazah' berkenaan daripada mana-mana sumber yang tidak boleh dipegang. Ia mencemarkan Islam dengan menggambarkan seakan Nabi SAW itu ‘kaki pau' yang akan memeras atau mengambil kesempatan atas kelemahan seseorang yang hakikatnya bukan kesalahan pun. 

Kemudian, kisah ini cuba menetapkan khasiat berselawat 400 kali pada malam Jumaat, padahal tiada satu hadis pun yang menetapkan bilangan tersebut. Lebih daripada itu semua, mimpi bukanlah hujah dalam Islam sehingga boleh diperas harta orang lain beralasankan mimpi. 

Apakata nanti, jika ada orang yang mengugut kita menyuruh kita memberikan wang kepadanya atas alasan dia bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW dan baginda memerintahkan kita memberikan wang kepadanya.

Kata al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) selemah-lemah hujah mereka (puak bid‘ah) adalah puak yang mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. 

Mereka berkata: "Kami bermimpi lelaki soleh tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini! Buat ini". Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Dalam kalangan mereka ada yang berkata: "Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini... Dan memerintah aku sebegini". Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syariat. Ini adalah salah, kerana mimpi individu selain nabi, tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika syarak membolehkan, maka ia diamalkan, jika tidak, ditinggalkan." (Al-Syatibi, Al-I'tisam, 198, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi)

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada dalam kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang dengan dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti dari hujah yang baik atau akal atau wahyu. Golongan sufi ini mencerca mereka dengan menyatakan mereka ini jumud dengan ilmu zahir. Bagi mereka; ilmu zahir kedudukannya seperti kulit, sedang ulama syariat berpaling daripada ilmu batin yang mana kedudukannya seperti isi." (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Cerita kartun buah epal

Demikian juga cerita-cerita yang bersifat "kekartunan" seperti kononnya ada seorang wali Allah yang memakan epal yang hanyut dalam sungai. Kemudian dia mencari tuan punya epal tersebut untuk meminta halal daripadanya, tetapi tuan kebun tersebut mensyaratkan hendaklah berkahwin dengan anak perempuannya. 

Dia memberitahu anaknya itu bisu, pekak, buta dan berbagai kecacatan yang lain. Demi mendapat ‘sijil halal' epal yang dimakannya itu terpaksalah si wali tersebut berkahwin dengan anak empunya kebun epal tersebut. Konon akhirnya didapati anaknya itu sempurna dan cantik.

Cerita yang seperti ini mencemarkan dataran Islam yang bersih. Perkahwinan dalam Islam boleh dipaksa atas nama menghalalkan sebiji epal. Epal yang hanyut dan terdedah kepada rosak boleh dimakan dari dibazirkan. Jika pun ada tuntutan, boleh dibayar dengan harga sebiji epal, bukan dipaksa kahwin. 

Bayangkan jika seseorang memandu kereta lalu terlanggar kereta orang lain dan tuannya tidak mahu memaafkan melainkan dia mesti berkahwin dengan anak tuan kereta tersebut yang betul-betul 'tidak menawan'. 

Apakah itu jalan mendapatkan 'kehalalan' atas sesuatu kesilapan yang tidak berkaitan? Menghidangkan cerita-cerita yang seperti ini untuk orang ramai - walaupun dengan niat yang baik - hanya membuatkan Islam disalahtafsirkan sahaja.

Pedang khutbah?

Begitulah juga apabila ada pandangan seketika dulu agar khatib yang berkhutbah memegang pedang sebagai lambang kekuatan. Tindakan yang seperti itu boleh menyebabkan Islam disalahtafsirkan terutama di zaman kita ini yang mana Islam dilebelkan oleh media khurafat Barat sebagai agama keganasan.

Saya tertarik dengan kata-kata al-Hafiz al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) 

Nabi SAW tidak pernah memegang pedang atau selainnya (ketika berkhutbah). Hanya baginda memegang anak panah atau tongkat sebelum dibuat mimbar. Baginda (ketika berkhutbah) dalam peperangan memegang anak panah dan ketika Jumaat memegang tongkat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda memegang pedang. Apa yang disangka oleh sesetengah golongan jahil bahawa baginda sentiasa memegang pedang sebagai tanda bahawa Islam ditegakkan dengan pedang adalah kejahilan yang teramat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda selepas dibuat mimbar menaikinya dengan pedang, atau anak panah atau selainnya. Tidak juga sebelum dibuat mimbar baginda memegang pedang di tangannya sama sekali. Hanya baginda memegang tongkat atau anak panah (Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma‘ad, 1/439, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Berhujah dengan matang

Atas dasar sebagai agama hujah dan fakta yang tegak membela kebaikan manusia sejagat kita mengizin semua pihak termasuk agama lain berhujah secara harmoni dan baik. Islam bukan macam sesetengah pihak, yang jika ada orang berbeza pendapat dengan ustaz-ustaz mereka terus sahaja dilabelkan sebagai ‘Wahabi' ataupun liberalis ataupun seumpamanya. Islam agama yang sudi mendengar hujah dan alasan. 

Firman Allah yang bermaksud: 

"Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahlul Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, kami berserah diri." (al-Ankabut: ayat 46)

Firman Allah juga yang bermaksud: 

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah al-Nahl: 125)

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN adalah bekas mufti Perlis.

Ilmu lebih mudah dikuasai menggunakan bahasa ibunda

Kajian menunjukkan bahawa sesuatu ilmu itu lebih mudah dihadam jika diajarkan dalam bahasa ibunda, kata Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan.
Beliau berkata gedung khazanah bahasa Melayu sebenarnya cukup kaya dan mampu menjadi medium penyebaran maklumat dan ilmu.
"Potensi bahasa Melayu untuk menjadi bahasa dunia khususnya dalam sektor ekonomi adalah tidak mustahil.
"Bahasa Melayu hanya berhadapan dengan krisis keyakinan dalam kalangan para penggunanya dek keterbatasan kosa kata untuk mengungkap perkembangan tamadun dunia yang berasaskan sains dan teknologi," katanya ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu VIII di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini Rabu.
Seminar dua hari bertemakan 'Bahasa Melayu Bahasa Negara Bangsa' itu anjuran bersama UPM dan DBP.
Dalam sidang akhbar kemudian, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan turut sependapat dengan Mohd Fauzi bahawa banyak kajian mendapati ilmu lebih mudah diterima jika diajar dalam bahasa ibunda.
"Salah satu kajian dilaksanakan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco)," katanya.
Menurutnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilihat sebagai tidak relevan untuk kembali dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.
Dr Awang Sarian berkata, pelaksanaan PPSMI menunjukkan berlaku kemerosotan peratusan pelajar lulus bagi kedua-dua matapelajaran tersebut.
"PPSMI dilihat tiada hala tuju dan kajian yang dilakukan Kementerian Pendidikan mendapati ia memang tidak praktikal dalam konteks demokrasi dalam sistem pendidikan.
"Kita mungkin boleh melahirkan ribuan orang yang hebat dalam Bahasa Inggeris (BI) tetapi jangan kita lupakan 24 juta penduduk di negara ini yang mahir dalam penguasaan bahasa kebangsaan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa yang merayu agar PPSMI dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.
Menurutnya, kajian Unesco menunjukkan pelajar lebih mudah memahami sesuatu ilmu dengan berkesan dalam bahasa ibunda (Bahasa Melayu) kerana ilmu dan bahasa berkait rapat.
"Kita perlu lihat Perancis, Jepun, Korea dan China. Ini berdasarkan pengalaman saya selama empat tahun di Beijing. Mereka tetap menggunakan bahasa kebangsaan, jadi itu tidak pernah melemahkan matapelajaran Sains dan Matematik mereka, " katanya.
Beliau berkata, BI sebaliknya perlu dikuasai sebagai alat untuk nilai tambah bagi memperkaya ilmu tetapi martabat BM itu tiada galang gantinya.
"Ini berlaku di seluruh dunia. Kalau kita sanggup mengorbankan 3 juta lebih pelajar di negara ini, bererti kita sanggup menidakkan hak pelajar terutamanya di kawasan luar bandar untuk mempelajari Sains dan Matematik dengan lebih berkesan.
"Apa yang penting bagi saya adalah keputusan dibuat kerajaan berdasarkan kajian yang saintifik dan menyeluruh. Oleh itu, kerajaan meminda PPSMI dan memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI)," katanya. -13/11/2013

Umur kian singkat, ajal makin dekat

MASA bergerak begitu pantas. Dalam diam kita sudah memasuki tahun baru Masihi 2013. Ia menandakan usia kita kian berganjak dan semakin tua.
Apabila tahun baru menjelma, pasti ramai bersemangat dengan azam baru masing-masing. Apabila ‘wish’ selamat tahun baru, soalan wajib selepas itu pastinya “Apa azam untuk tahun baru?” 
Nak berazam perlu tunggu tahun baru saja ke? Setahun ada 365 hari manakala tahun itu juga adaah himpunan antara hari. Dari hari-hari itulah menjadi setahun. 

Jadi azam tahun baru sebenarnya mesti diukir setiap hari. Jika azam sekadar sebutan dan hanya rutin serta pakej sambutan tahun baru saja, sudah tentu tidak ke mana.

Paling tidak hangatnya sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Berazam macam nak rak tapi apabila sampai tahun baru yang seterusnya, satu azam pun tidak tercapai lagi.

Selepas itu, pandai-pandai saja buat azam baru. Setiap hari, setiap waktu umur kita akan bertambah sama ada memasuki tahun baru atau tidak. 

Hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau belum tahun yang baru. 

Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. 
Kebaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. 

Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah fenomena hidup kita seharian. Hijrah sudah tak jadi gah sehebat sejarahnya. 

Baca sejarah tapi hilang ceritanya atau rohnya. Jadi sempit dan apabila sudah jadi sempit, kefahaman pun mula mengecil dan apabila kefahaman mengecil, penghayatan pun makin menguncup, hasilnya hijrah tinggal sejarah. 

Ramai yang gagal mencapai azam kerana mereka tidak mempunyai kesungguhan dan beranggapan azam itu tidak penting. 

Ada juga yang menetapkan azam yang terlampau banyak sehingga tidak sempat untuk dicapai pada tahun itu. 

Azam perlu dibuat secara berperingkat. Selesai satu azam, buat azam baru pula. Sepatutnya tahun baru dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang dilalui sepanjang setahun. 

Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang perkara lebih baik untuk tahun seterusnya. Berusaha berubah kepada yang lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. 

Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya. 

Begitu juga pada azam, tidak perlu menunggu saat tibanya tahun baru. Lakukanlah segera kerana usia tidak akan menanti kita. Perkara yang paling hampir pada diri kita adalah kematian. 

Untuk berubah, demi azam baru, di sini mari sama-sama kita berkongsi tip bagaimana hendak laksanakan azam yang kita pasang selama ini. 

Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri anda. 

Mana mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah sedangkan diri anda sendiri masih berada pada takuk lama. Nanti orang akan cakap yang anda seorang yang cakap tidak serupa bikin. Cakap pandai tapi buat sendiri tak pandai. 

Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa singkat atau dalam tempoh sekelip saja. 

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah anda akan dapat berubah seperti apa yang anda inginkan. Walaupun perlahan, anda akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri. 

Lakukan perubahan pada masa sekarang juga. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama anda bertangguh untuk berubah maka ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk melakukannya. 

Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang. 

Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Anda perlu memaksa diri anda untuk berubah dengan sepenuh hati. Jika diri anda tidak dipaksa, anda seolah-olah memanjakan diri anda untuk berubah. 

Nafsu anda juga akan menjadi semakin degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu anda dan jangan biarkan nafsu yang mengawal diri. 

Apabila anda berjaya melakukan perubahan dalam diri maka anda perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia menjadi sebati dengan diri. Jika perubahan hanya dibiarkan begitu sahaja, anda hanya akan berjaya untuk berubah seketika dan selepas itu akan kembali kepada takuk lama. 

Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang anda lakukan. Anda perlu sentiasa melakukannya. 

Kesimpulannya, kita perlu berubah untuk menjadi orang yang lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam. Tapi jangan pula berubah kerana disebabkan orang lain. 

Kita perlu ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri anda sendiri. Selepas itu bolehlah mengajak orang lain untuk berubah sama. Jika dilakukan dengan niat dan cara yang betul, insya-Allah orang lain akan dapat berubah seperti yang diharapkan. 

Kita juga mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak orang lain berubah. Cuma awas berubah jangan jadikan ia upacara bermusim berubah dan beristiqamah sehingga menemui Allah. 

Sesungguhnya Allah menciptakan hidup dan mati itu untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya.